KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membantah permohonan seorang peguam bagi memperoleh kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan kerajaan yang didakwa menangkap serta menahannya secara salah pada Oktober tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim, yang mewakili AGC, memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kes itu sepatutnya didengar melalui writ saman dan bukannya semakan kehakiman.

"Pemohon (Rosli Dahlan) sepatutnya memfailkan saman sivil menuntut ganti rugi. Beliau telah mengulangi dakwaan seperti konspirasi, fitnah dan salah guna kuasa," katanya.

Peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Rosli, pula berkata perkara yang dibangkitkan adalah bersesuaian dengan semakan kehakiman dan ia adalah isu yang masih hangat, bukannya bersifat akademik.

"Tindakan atau keputusan responden pertama hingga kelima sebagai para pegawai PDRM untuk mengaitkan pemohon (Rosli) dengan kes yang tidak ada kena-mengena dengan beliau adalah salah guna kuasa. Ia turut membawa kepada penahanan salah beliau dan perintah pembekuan aset serta sekatan ke luar negara terhadap pemohon.

"Tindakan atau proses membuat keputusan terbabit adalah berdasarkan penggunaan kuasa oleh PDRM dan para pegawainya di bawah AMLA yang boleh dilakukan semakan kehakiman," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 3 April untuk membuat keputusan.

Rosli Dahlan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 29 Dis lepas menerusi Tetuan Vin Law Co

Beliau menamakan Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urusetia Ketua Polis Negara Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya Foo Wei Min dan Pegawai Penyiasat Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dinamakan Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud, polis, JIM dan kerajaan.

Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden pertama hingga kelima yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve) yang tiada kena-mengena dengannya.

Beliau juga memohon perintah bahawa tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Okt 2023 serta membekukan akaun banknya adalah menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu turut memohon agar mahkamah membatalkan sekatan ke luar negara terhadapnya.

-- BERNAMA