KOTA KINABALU: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu diadakan bagi membincangkan usul berikutan cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Wakil Rakyat Bebas DUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jika sidang khas itu dipersetujui banyak usul perlu dibahaskan kerana melibatkan pengamal dan penggubal undang-undang bagi kedua-dua negeri itu.

Beliau menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Maximus Ongkili pada Khamis lalu yang menyatakan supaya DUN bagi kedua-dua wilayah itu membahaskan usul tambahan ahli Parlimen sebelum perkara itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Parti-parti kerajaan dan pembangkang sewajarnya menyokong perkara itu kerana ia tidak berkaitan dengan fahaman politik sebaliknya ia adalah hak serta suara rakyat Sabah dan Sarawak.

"Perkara itu wajar diutamakan kerana ia adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 minggu lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut membincangkan mengenai tuntutan mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung, hanya baki 25 peratus di wilayah Borneo iaitu 25 kerusi di Sabah dan 31 di Sarawak.

Masiung turut mencadangkan agar kerusi Parlimen bagi kedua-dua wilayah Borneo itu ditambah menjadi satu pertiga atau lebih 70 peratus bilangan kerusi yang bakal ditambah di seluruh negara menjelang penggal akan datang.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu menggesa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 turut menekankan merit pemberian khas 40 peratus kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sidang DUN merupakan platform paling sesuai merit pemberian khas itu dibahaskan, memandangkan tuntutan MA63 itu telah lama dibangkitkan tanpa sebarang kata putus dari Kerajaan Persekutuan.