KOTA BHARU: Kerja-kerja penambahbaikan 38 klinik kesihatan dan klinik desa daif di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM9.3 juta daripada kerajaan pusat dijangka siap sepenuhnya pada Oktober nanti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hampir sebahagian daripada klinik daif telah siap dibaiki dan digunakan oleh rakyat.

"Cuma ada sebahagian lagi dalam proses pembaikan yang kebanyakannya melibatkan kerosakan bumbung dan penukaran bangunan kayu kepada binaan simen selain pendawaian elektrik.

"Klinik-klinik daif ini telah lama dibina. Jadi banyak kerja penambahbaikan perlu dilakukan, namun kita jangka ia siap sepenuhnya Oktober depan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pemakanan Bayi dan Kanak-Kanak ke-3, di sini, pada Selasa.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) itu dijalankan bagi membincangkan kepentingan susu ibu kepada tumbesaran kanak-kanak.

Dr Zaini berkata, apabila kerja-kerja pembaikan klinik berkenaan siap sepenuhnya, rakyat di seluruh jajahan negeri ini akan menikmati perkhidmatan yang lebih selesa.

"JKNK amat berterima kasih kepada kerajaan atas kelulusan peruntukan tersebut kepada Kelantan. Ia bukan hanya memberi nilai tambah kepada kemudahan sedia ada, tetapi juga yang lebih penting memberi manfaat kepada rakyat.

"Terdapat 108 klinik kesihatan dan 132 klinik desa yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaini berkata, lima klinik desa yang dinaik taraf kepada klinik kesihatan jenis tujuh yang mula dibina pada 2020 berjaya disiapkan dua bulan lepas dan telah beroperasi sepenuhnya pada Julai.

Menurutnya, klinik berkenaan ialah Klinik Kesihatan (KK) Mata Ayer dan KK Kerilla (Machang), KK Karangan dan KK Peria (Kuala Krai) serta KK Sokor di Tanah Merah.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan naik taraf bagi kelima-lima klinik desa itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta. - BERNAMA