Penanaman ketum tidak terkawal, perlu diharamkan segera - Muhyiddin

Wan Syamsul Amly
November 12, 2018 11:09 MYT
MUHYIDDIN: Kesan bahan ketum ini jadi satu kesan buruk, jadi kita beri pandangan awal- awal lagi jangan dibenar penanaman itu. - Gambar ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
Jawatankuasa Bertindak Pasukan Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) akan mencadangkan pengharaman penanaman ketum dengan kadar segera bagi mengelak penyalahgunaannya secara berleluasa.
Cadangan ini berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM), kes tangkapan berkaitan, selain kajian yang membuktikan ia berbahaya kepada pengguna.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan itu perlu dibuat sekarang kerana penanamannya kini sudah menjadi tidak terkawal.
"Di peringkat ini, tanaman ketum tidak terkawal, jadi orang boleh gunakan untuk berbagai-bagai (cara).
"Ada kes yang mana Malaysia menjadi pengeksport ke Thailand dan Thailand sudah mengharamkan tanaman ini sebab tahu kesannya.
"Kita bimbang kalau itu berlaku. Kesan bahan ketum ini beri satu kesan buruk, jadi kita beri pandangan awal- awal lagi jangan dibenar penanaman itu."
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) Agensi Anti Dadah Kebangsaan, di sini, hari ini.
TONTON: Pokok ketum ibarat 'landskap' rumah di Perlis
BACA: Penjawat awam minum air ketum meningkat di Putrajaya
Dalam pada itu, kata Muhyiddin, kerajaan juga akan berbincang mengenai pengenalan Rang Undang-undang Akta Bahan Khayal Inhalan 2018 berdasarkan kes penghidu gam yang dimonopoli golongan remaja.
"Ia dicadangkan AADK, kes itu tidak dikategorikan dalam bahan dadah, terkeluar sedikit.
"Jawatankuasa Kabinet akan membawa Akta Bahan Khayal ini ke Parlimen supaya mereka ini boleh kita kawal dari sudut undang-undang, untuk diberi bantuan pemulihan atau nasihat pendidikan dan sebagainya," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, antara negeri yang mencatat kes penyalahgunaan dadah tertinggi ialah Pahang sebanyak 16,150 kes; Kelantan (16,918); Terengganu (10,576); dan Perlis (2,123).
Sementara itu, rekod yang dikesan AADK untuk jumlah lelaki dan perempuan adalah 109,838 orang, sebahagian besarnya remaja iaitu 3,043 orang, belia (80,548) dan dewasa (29,194).
Dalam pada itu, bangsa Melayu mencatat peratus tertinggi iaitu 80.6 peratus (88,522), Cina 7.2 peratus (7,883), India 7 peratus (7,689), lain-lain (757), Pribumi Sabah 3.9 peratus(4,247) dan Pribumi Sarawak 0.6 peratus (713).
#Cina #India #ketum #KKM #Melayu #Pahang #penanaman #Putrajaya #Thailand #tidak terkawal