Penangguhan pembayaran premium hanya untuk insurans hayat, takaful keluarga

Bernama
Mac 27, 2020 20:13 MYT
Opsyen itu hanya untuk polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menjelaskan opsyen bagi penangguhan bayaran premium insurans di bawah pakej rangsangan ekonomi tidak merangkumi polisi insurans am.
Persatuan itu dalam satu kenyataan memberitahu, opsyen itu hanya untuk polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga.
PIAM berkata, ini jelas dinyatakan dalam siaran akhbar yang bertajuk "Langkah-Langkah Tambahan untuk Terus Menyokong PKS dan Individu Yang Terjejas Akibat Wabak COVID-19" yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat.
Ia merujuk kepada Seksyen C dalam kenyataan BNM mengenai langkah-langkah bantuan kepada pemegang polisi dan peserta takaful yang terjejas.
Untuk maklumat lanjut atau penjelasan, pengguna boleh melayari laman web PIAM di www.piam.org.my atau menghantar pertanyaan mereka ke pic@piam.org.my. - BERNAMA
#bank #Bank Negara #ekonomi #insurans #koronavirus #Persatuan Insurans Am Malaysia #PIAM #PKS