IPOH: Cadangan pencalonan bandar raya Ipoh sebagai Jaringan Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) merupakan salah satu sasaran dalam Pelan Tindakan  Penjenamaan Pelancongan Wilayah Greater Ipoh 2025.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ia bertujuan untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar paling berdaya huni di negara ini, di samping menjadikan Ipoh sebuah bandar yang mempunyai kualiti hidup yang baik dan sesuai untuk didiami tanpa mengira peringkat usia masyarakat.

Jelasnya, sehingga tahun 2021, sebanyak 247 bandar di dunia telah mendapat status UCCN.

"12 daripadanya (UCCN) mewakili wilayah ASEAN termasuk satu dari Malaysia iaitu bandar raya Kuching yang telah dinobatkan sebagai UCCN melalui tema gastronomi (makanan) pada tahun 2021.

"Cadangan itu juga bertujuan untuk menempatkan kreativiti dan industri budaya sebagai rencana utama pembangunan di peringkat tempatan serta menjalin kerjasama aktif di peringkat antarabangsa melalui perkongsian inisiatif, idea, pengalaman dan amalan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei, di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.

Dalam pada itu Rumaizi berkata, menerusi program UCCN, bandar yang diiktiraf komited untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam membangunkan model public private partnership serta komuniti awam.

"Antaranya memperkuat penciptaan produk dan ​penyebaran kegiatan budaya, aset dan perkhidmatan; mengukuhkan imej bandar untuk tujuan pelancongan, ​pelaburan dan perniagaan, mengembangkan hubungan kreativiti dan inovasi dan ​memperluas peluang pengamal dan profesional dalam sektor budaya.

"Meningkatkan akses dan penglibatan dalam kehidupan ​budaya, khususnya untuk kelompok dan individu yang ​terpinggir (margenalise) serta mengintegrasikan budaya dan kreativiti sepenuhnya ke ​dalam rancangan pembangunan secara mapan," katanya lagi.

Justeru ujarnya, langkah seterusnya bagi merealisasikan hasrat itu ialah dengan menyediakan dokumen lengkap pencalonan Ipoh sebagai UCCN, melalui tema muzik yang akan bermula pada Mac 2023.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh topik berkaitan bandar raya Ipoh yang diletakkan sebagai bandar keempat terbaik bagi bandar pejalan kaki.

"Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh Chandini Del dalam The Rakyat Post pada 12 Mei lalu, Ipoh telah diletakkan sebagai bandar keempat terbaik bagi bandar pejalan kaki atau 'walkable city' di Malaysia.

"Bermaksud keempat terbaik selepas bandar raya Melaka, George Town, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur," katanya.

Ujarnya lagi, pencapaian itu hasil daripada perancangan dan pelaksanaan ke arah menjadikan Ipoh sebagai Bandar Pelancongan Utama 2025 dan Ipoh Bandar Rendah Karbon 2030.

Katanya bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar yang 'walkable', satu rangka kerja cadangan yang menyeluruh telah dibentuk.

"Kajian ‘Walkable City’ Kawasan Khas Ipoh telah dijalankan seterusnya mengurangkan kebergantungan penduduk setempat dan pelancong terhadap penggunaan kenderaan persendirian," ujarnya.

Katanya, kajian ini akan meliputi kawasan Ipoh di Blok Perancangan 1, merangkumi kawasan seluas 748.48 hektar dan ia terletak di dalam zon warisan.

Kawasan kajian ini merangkumi lima zon iaitu Zon A : Taman Dr. Senivasagam; Zon B: Pekan Lama Ipoh, Zon C: Sungai Kinta (sebahagian), Zon D: Pekan Baru Ipoh dan Zon E: Greentown.