KUALA LUMPUR: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bagi membantu rakyat dalam mendapatkan kemudahan jaringan Internet yang stabil merekodkan pencapaian memberangsangkan setakat suku keempat tahun lepas.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu berdasarkan perkembangan semasa inisiatif JENDELA yang berjaya melepasi nilai sasaran awal ditetapkan merangkumi aspek ketersediaan sambungan rangkaian gentian optik, liputan 4G dan kelajuan jalur lebar.

"Pencapaian setakat suku keempat adalah sejumlah 7.74 juta premis telah diliputi dengan ketersediaan sambungan gentian optik melebihi sasaran awal iaitu 7.5 juta premis. Liputan 4G di kawasan berpenduduk juga diperluas sehingga 96.92 peratus melepasi sasaran 96.9 peratus.

"Selain itu, kelajuan jalur lebar mudah alih pada kadar purata 116.03 Mbps (megabit sesaat) melebihi sasaran kelajuan 35 Mbps yang disasar untuk dicapai menjelang penghujung 2022," katanya pada Majlis Penyerahan Anugerah WSIS 2023 di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif JENDELA juga berjaya memberi akses internet melalui satelit kepada 839 komuniti Orang Asli dan penduduk kawasan pedalaman di Sarawak, Sabah, perkampungan Orang Asli dan beberapa kawasan lain di Semenanjung Malaysia.

[TERKINI] Sidang media Menteri Komunikasi dan Digital

Beliau berkata laporan ringkas JENDELA bagi suku keempat 2022 akan dikeluarkan pada hujung bulan ini atau awal April.

Mengenai liputan rangkaian 5G, Fahmi berkata pelaksanaannya kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mempunyai ketersediaan rangkaian 5G menjelang hujung tahun ini.

"Pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang di bawah JENDELA Fasa Dua bagi tempoh 2023 hingga 2025 juga diawalkan kepada Fasa Satu iaitu pada penghunjung 2021," katanya.

Mengenai satu lagi inisiatif baharu iaitu Broadband Pakej Perpaduan, beliau berkata perkara itu dijangka diumumkan pada 29 Mac ini dan butirannya akan dimaklumkan kelak.

Terdahulu, mengenai kejayaan JENDELA memenangi anugerah WSIS Prizes 2023 di Geneva, Switzerland, pada 14 Mac lepas, Fahmi berkata ia adalah pengiktirafan besar dunia kepada negara dan mampu menjadi dorongan kepada pihak terlibat untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi kepada rakyat.

"Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak terlibat iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat telekomunikasi, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sentiasa bertungkus-lumus menjayakan inisiatif JENDELA," katanya.

Fahmi turut meminta semua pihak berkepentingan terutamanya kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan agar terus memberikan komitmen bagi memudah cara penyediaan infrastruktur digital.

-- BERNAMA