Dua sekolah yang baru sahaja dibuka pagi tadi, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih ditutup semula berikutan terdapat murid mengadu sesak nafas tengahari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kedua sekolah akan ditutup buat sementara waktu dan akan diputuskan statusnya selepas berbincang dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana kelak.

Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, lapan murid telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sementara lebih 10 pelajar dirawat di sekolah dan Dewan Taman Pasir Putih berhampiran sekolah.

BACA: Sungai Kim Kim sering dicemari, insiden pada Khamis paling buruk - Penduduk

BACA: Pencemaran bahan kimia: Sekolah baru dibuka, pelajar pengsan lagi




Pelajar di kedua-dua sekolah berkenaan diarah mengosongkan sekolah pukul 12.45 tengahari tadi.

Jelas Sahruddin, kejadian sesak nafas dalam kalangan pelajar boleh berpunca dari pelbagai faktor.

“Sebetulnya punca sebenar kita pun tidak tahu, pasal banyak simptom, faktor melibatkan pelajar ada simptom sama,” katanya sewaktu ditemui di Dewan Taman Pasir Putih, yang dijadikan pusat operasi sementara, tengah hari tadi.

Terdahulu, sekumpulan pemberita dan petugas media bersama Dr Sahruddin dan Jabatan Alam Sekitar (AS) membuat tinjauan di Sungai Kim Kim berhampiran dikejutkan dengan keadaan kecoh di kedua -dua sekolah berkenaan berikutan ramai pelajar mengadu sesak nafas, loya dan muntah-muntah.


Ekoran itu, kontraktor telah dilantik untuk terus membersihkan sisa kimia di sungai berkenaan sehingga masalah selesai.

Pembersihan dijangka mengambil masa lima hari dan meliputi kawasan sungai sejauh 1.3 kilometer.