MALAYSIA
Pencemaran bau di Sungai Semenyih berpunca dari kawasan industri - LUAS

LUAS mengesahkan pencemaran bau abnormal sehingga mencecah 10 ton telah dikesan di Sungai Semenyih. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan pencemaran bau abnormal sehingga mencecah 10 ton telah dikesan di Sungai Semenyih sekitar jam 1.40 pagi pada Isnin.
Ringkasan AI
- LUAS mengesan pencemaran bau abnormal sehingga 10 ton di Sungai Semenyih dan mengaktifkan Kod Kuning untuk tindakan segera termasuk pemantauan rapi dan penggunaan sumber air alternatif.
- Siasatan mendapati punca pencemaran berasal dari aliran Sungai Kabul berhampiran Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang, dengan sebuah premis kitar semula dikenal pasti sebagai penyebab utama.
- LUAS mengarahkan tindakan pembetulan segera termasuk pemindahan bahan tercemar, pembersihan sisa, dan penggunaan Activated Carbon untuk nyahbau serta terus memantau bagi memastikan tiada gangguan bekalan air.
Pemantauan statik LUAS di Sungai Semenyih pada jarak 1.5 kilometer dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir telah ditingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memastikan pemantauan rapi terhadap kualiti air.
"Sebanyak empat pam dengan jumlah keseluruhan 616 juta liter sehari (JLH) air daripada projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah dipam ke muka sauk LRA Sungai Semenyih sebagai sumber air mentah alternatif menggantikan air sungai yang tercemar.
"Selain itu, pelepasan air daripada Empangan Semenyih turut dilakukan sebanyak 360 JLH bagi membantu peningkatan kadar pencairan bahan pencemar di dalam sungai," menurut LUAS dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, siasatan LUAS dan Air Selangor yang dimulakan seawal pagi mendapati punca bau abnormal itu adalah daripada aliran di Sungai Kabul yang berhampiran Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang.
LUAS juga telah menyelaras tindakan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menyemak dan menyiasat beberapa premis yang disyaki di kawasan perindustrian tersebut.
Jelasnya, hasil pemeriksaan LUAS bersama Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan MPKj mengenal pasti sebuah premis kitar semula sebagai punca pencemaran berdasarkan bau yang sama dengan aliran di Sungai Kabul.
"Semakan di premis tersebut menemukan bahan buangan daripada aktiviti kitar semula bahan plastik yang telah tumpah, selain bahan seakan minyak yang disimpan dalam tong Intermediate Bulk Container (IBC) dalam keadaan terdedah dan tidak diselenggara dengan rapi.
"LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk memindahkan tong IBC ke kawasan tertutup dan dikawal rapi. Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 telah dikeluarkan kepada premis terbabit untuk menghentikan dan menutup aliran keluar dari premis serta melakukan kerja-kerja pembersihan sisa tumpahan di semua lokasi terlibat dengan serta-merta, " ujarnya.
Sebagai langkah kawalan tambahan, LUAS telah meletakkan enam beg Activated Carbon (AC) bersamaan 42 kilogram di aliran berkaitan bagi tujuan nyahbau.
"LUAS akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan kawalan dan pemulihan dilaksanakan dengan berkesan serta tiada gangguan kepada sumber bekalan air mentah di kawasan terlibat, " tambahnya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami