RAWANG:Tahap pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan SSP 1,2 dan 3 kini pada tahap 2 TON.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Sehingga jam 9:00 malam ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau Panjang berada pada tahap 2 TON dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap 2 TON.

"Berdasarkan kepada siasatan awal, didapati pencemaran berpunca daripada efluen industri daripada pelbagai sumber industri kecil dan sederhana di Taman Velox, Rawang dan kawasan persekitarannya iaitu Kawasan Industri Kecil Sungai Bakau dan Taman Perindustrian Teknologi Rawang," katanya.

BACA: 1,279 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air bermula 6 petang ini

BACA: Kerajaan negeri tidak tolak pencemaran bau Sungai Selangor akibat sabotaj

BACA: Bekalan air dijangka pulih esok jika nyah cemar dapat dibuat malam ini - Exco Alam Sekitar

BACA: Ganjaran RM5,000 untuk pihak yang salurkan maklumat pencemaran Sg Selangor

Siasatan awal juga mendapati sebahagian daripada efluen industri yang berbau itu telah masuk ke dalam longkang dan sebahagian lagi dilepaskan secara haram ke dalam sistem pembentungan.

"Penyiasatan akan terus dijalankan oleh pasukan penguatkuasa daripada JAS, IWK, SPAN, PDRM, LUAS, Air Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor sehingga punca pencemaran dan penjenayah alam sekitar ini dapat dikenalpasti," tegasnya.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 12.45 tengahari.

Ia melibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.