PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan 60 kompaun dengan nilai berjumlah RM120,000 susulan pemeriksaan ke atas 404 premis industri dalam Ops Gempur Raya 2023 bagi tempoh 3 hingga 18 April lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan hari ini berkata kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan pelbagai pelanggaran peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau berkata selain kompaun, JAS turut mengeluarkan 112 notis arahan, menahan kelengkapan dan menyita 19 premis di samping membuka 20 kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.

Menurutnya Ops Gempur Raya 2023 dilaksanakan dari 3 hingga 25 April ini di seluruh negara bagi mencegah insiden pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran air, yang melibatkan pemeriksaan premis industri secara bersasar dan besar-besaran bagi memastikan pemilik premis berkenaan patuh kepada AKAS1974.

Beliau berkata JAS turut menjalankan pemantauan udara melalui dron dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan pencemaran bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.

Sementara itu, bersempena Hari Penguatkuasaan JAS 2023, Wan Abdul Latif berkata pihaknya bersetuju memberi pengurangan kompaun sehingga 50 peratus kepada mana-mana kompaun yang dikeluarkan sebelum 15 April lepas dan belum membuat sebarang rayuan.

"Rayuan pengurangan kompaun boleh dibuat di mana-mana JAS negeri dan bayaran hendaklah dijelaskan sebelum 15 Mei 2023," katanya.

Beliau berkata JAS telah menjalankan 18,917 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap premis industri sepanjang tahun lepas dengan 9,476 tindakan penguatkuasaan telah diambil manakala sehingga 17 April lepas pula, 5,488 premis industri telah diperiksa dengan 880 tindakan telah dikenakan.

"Berdasarkan rekod JAS, antara kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal menguruskan buangan terjadual seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap premis industri yang didapati melanggar Seksyen 34B AKAS 1974 iaitu hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

-- BERNAMA