Pencemaran Pasir Gudang: Kes sangat berbeza dengan Sungai Kim Kim - Timbalan Menteri

Fareez Azman
Jun 24, 2019 13:50 MYT
Beberapa murid Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort yang terjejas akibat pencemaran udara dimandikan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini. --fotoBERNAMA
Kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini, sehingga menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, disifatkan sangat berbeza dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac lalu.
Bahan cemar yang disyaki itu, menurut Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis, telah tersebar melalui proses pemeruapan.
Ia berlaku akibat cuaca panas, keadaan topografi di Pasir Gudang dan arus angin monsun Barat Daya yang bertiup dari Selatan, katanya pada satu sidang media selepas menghadiri taklimat insiden berkenaan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, hari ini.
BACA: Bencana Kim Kim: Kawasan tercemar sisa kimia dibersihkan
Isnaraissah berkata, bahan kimia yang ditemui susulan kejadian bencana Sungai Kim Kim telah dilupuskan sepenuhnya.
"Saya ingin maklumkan bahawa, semua sisa-sisa dari sungai berkenaan sudahpun diproses melalui insinerator pada 8 April lepas.
"Jadi, kita mahu kenal pasti dahulu. Kalau Sungai Kim Kim, kita dapat kenal pasti ‘ground zero’ pencemaran di mana dan bahan toksik dibuang di sungai dan mengalir, tetapi (pencemaran kali ini) masih dalam siasatan," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.
BACA: 30 buah kilang kimia bakal disiasat - MB Johor
Isnaraissah berkata, jenis bahan kimia yang menyebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang kali ini akan diketahui dalam masa dua hari.
Sementara itu, Dr Dzukefly menjelaskan, hasil ujian klinikal terhadap mangsa mendapati tahap toksik di dalam badan mangsa tidak tinggi seperti sebelum ini.
Ujarnya, bahan kimia bersifat sementara itu akan dikumuh keluar dari badan dalam tempoh lima jam selepas mangsa terdedah kepada bahan berkenaan.
"Dari sudut klinikal, ia bukan berada di tahap toksik yang tinggi," katanya, membandingkan dengan kes pencemaran di Sungai Kim Kim yang menyaksikan mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital.
Bagaimanapun pihaknya akan menyiasat jenis toksik berkenaan sebelum diumumkan hasilnya.
BACA: Tujuh lagi sekolah di Pasir Gudang terjejas, tapak pelupusan dan sungai dipantau
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, sehingga pukul 3.00 petang ini, 75 individu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan daripada jumlah itu, empat pesakit masih menerima rawatan di wad biasa HSI.
Tiga pesakit itu berusia bawah 12 tahun manakala seorang sahaja berusia 30an.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut mencadangkan semua institusi pendidikan di kawasan Pasir Gudang ditutup mulai esok sehingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.
BACA: Pencemaran bahan kimia berulang amat dikesali - MB Johor
Bagaimanapun, keputusan menutup semua institusi pendidikan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir malam ini.
Setakat Ahad, 16 sekolah, satu politeknik dan 69 tadika di bawah Kementerian Pendidikan diarah tutup dari Ahad sehingga Khamis ini.
Ini tidak termasuk Sekolah Agama Taman Mawar dan sembilan tabika perpaduan.
#bahan kimia #Dzulkefly Ahmad #ICU #Isnaraissah Munirah Majilis #mangsa #Menteri Besar #muntah #Pasir Gudang #pemeruapan #pencemaran #rawatan #sahruddin jamal #sesak nafas #siasatan #Sungai Kim Kim #tahap toksik #ujian klinikal