KUALA LUMPUR: Bekalan air di 463 kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kini mencapai tahap 92.2 peratus pemulihan setakat 7 pagi hari ini.

Air Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, proses pemulihan bekalan air dilakukan secara berperingkat, bergantung kepada tekanan air dan jarak lokasi kediaman pengguna dalam sistem agihan bekalan air.

"Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," kata kenyataan Air Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu, Air Selangor turut berkongsi infografik yang menunjukkan lima daerah terjejas kembali pulih secara berperingkat.


Berdasarkan infografik tersebut, bekalan air di wilayah Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat telah pulih sepenuhnya.

Manakala, Hulu Langat 92.6 peratus dan Petaling 81.4 peratus.

Pada Jumaat, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih kendaliannya terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada jam 5.15 petang susulan insiden pencemaran bau dikesan pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.


Susulan itu, Air Selangor mengumumkan gangguan bekalan air bersih di 463 kawasan di Selangor dan Putrajaya selain menggerakkan 94 lori tangki air ke kawasan-kawasan terjejas.

"Gangguan bekalan air tidak berjadual di kesemua 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka akan pulih sepenuhnya pada 6 pagi, 6 September 2021."

BACA: LRA Sg Semenyih kembali beroperasi, dijangka pulih sepenuhnya 6 September



Pengguna boleh mengajukan pertanyaan dan aduan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.