Beberapa agensi yang berkaitan telah diarah mengenal pasti punca sebenar masalah pencemaran sungai di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), yang dikaitkan dengan pembuangan sisa kumbahan khinzir oleh pengusaha ladang ternakan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan berhubung masalah itu dan mengarahkan beberapa agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan segera.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang hari ini pencemaran sungai itu didapati bukan sahaja berpunca daripada aktiviti penternakan khinzir di Kampung Selamat, tetapi turut melibatkan beberapa punca lain.

"Punca-punca lain turut menjadi penyebab kepada masalah pencemaran bau busuk sehingga radius 13 kilometer, dan turut melangkaui beberapa sungai serta kampung di situ, seperti sisa buangan industri, tambakan sungai serta aktiviti pertanian, melalui penggunaan baja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun, mengingatkan semua pengusaha ladang khinzir supaya mematuhi sistem penternakan babi moden dengan menaik taraf kepada sistem kandang tertutup, kumbahan sifar, zon penampan dan mengamalkan amalan penternakan yang baik seperti ditetapkan di dalam Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 yang dikuatkuasakan bermula 1 Mac lepas.

Katanya, pihak berkuasa setiap agensi yang berkaitan diharap dapat bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu pencemaran di kawasan itu.

Sementara itu, seorang penduduk kawasan berkenaan Sulaiman Ahmad Razak, 53, ketika ditemui berkata, pencemaran najis babi di beberapa sungai Sungai Korok, Sungai Kreh Tasik, Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Parit Malakof, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam di daerah itu amat serius.

"Pembuangan sisa kumbahan khinzir yang dilepaskan di Sungai Kreh itu menyebabkan saliran parit di kampung kami tercemar sehingga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan terutamanya pada waktu malam dan selepas hujan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zain Zakaria, 50, berkata masalah itu bukan baru kerana penduduk terpaksa menghidu bau busuk sejak puluhan tahun lalu dan ia berlarutan hingga sekarang malah seperti tiada jalan penyelesaian.

Mohd Zain berkata, penduduk bukan sahaja berdepan dengan masalah pencemaran bau, malah ada di antara penduduk yang mengalami gejala gatal-gatal badan dan sesak nafas akibat terhidu bau busuk dari sungai dicemari najis babi. - BERNAMA