JOHOR BAHRU: Keluarga mangsa pencemaran Sungai Kim Kim berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula hukuman yang dijatuhkan kepada dalang pencemaran sungai berkenaan yang disifatkan tidak setimpal dengan penderitaan yang dialami mangsa.

Seorang daripada mangsa, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, sehingga kini perlu menanggung penderitaan kerana perlu bertongkat selepas disahkan menghidap Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar akibat daripada pencemaran itu.

Ibunya Norlela Abu Hashim, 50, ketika dihubungi Bernama berkata kerajaan perlu memperketatkan lagi undang-undang dan mengenakan denda yang tinggi bagi memastikan tiada lagi individu yang berani untuk membuat kesalahan pencemaran seumpama itu.

"Hukuman yang dijatuhkan perlu setimpal, jika ia (denda) hanya setakat itu (sedikit), ia seolah-olah nyawa budak-budak yang terkesan ini adalah murah.

"Seperti anak saya yang sehingga sekarang masih memerlukan tongkat kerana tidak 100 peratus baik, meskipun kejadian ini telah berlaku sejak lima tahun lepas ketika dia darjah enam," kata ibu lima anak itu.

Beliau berkata anak keempatnya itu yang mempunyai semangat yang tinggi masih memerlukan rawatan terapi untuk menguatkan kakinya.

Norlela bagaimanapun menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana mengendalikan kes itu sehingga individu terlibat berjaya dibuktikan bersalah.

Sementara itu, Mohd Rafee Abdullah, 51, berkata pencemaran itu sehingga kini menjejaskan kesihatan dan masalah pernafasan terhadap anaknya Nur Akma Darisha Sofea, 11.

Beliau berkata seharusnya selain memberikan hukuman yang setimpal kepada pesalah, mangsa juga perlu mendapat pembelaan dari segi bantuan perubatan.

"Anak saya masih buat rawatan susulan pakar paru-paru di hospital, kadangkala dia bersekolah, kadangkala tidak, bergantung kepada keadaan kesihatan. Jadi saya berharap, agar kerajaan dapat turut membantu mangsa dari segi bantuan perubatan yang berterusan untuk meringankan beban kami," katanya.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu menggemparkan seluruh negara sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada 7 Mac 2019.

JAS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 30 Nov lepas, kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Sementara itu, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

-- BERNAMA