Pencemaran Sungai Semenyih: Noh cabar Azmin buat laporan polis jika benar disabotaj

Tan Su Lin
Oktober 24, 2016 04:05 MYT
NOH: "Saya mencabar Azmin Ali supaya mengemukakan bukti jika benar apa yang dikatakan beliau bahawa wujudnya unsur sabotaj." - Gambar fail
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali agar membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Semenyih baru-baru ini.
Azmin sebelum ini menunding jari mengaitkan pencemaran sungai berkenaan dengan unsur sabotaj yang didakwa didalangi Barisan Nasional (BN) dan Umno.
"Saya mencabar Azmin Ali supaya mengemukakan bukti jika benar apa yang dikatakan beliau bahawa wujudnya unsur sabotaj," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi parlimen di sini hari ini.
Loji rawatan air Sungai Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi semalam berikutan akibat berlaku pencemaran bau air sungai berkenaan disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
Susulan penutupan loji rawatan air itu, beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara sejak 7.30 pagi semalam.
#Azmin Ali #dakwaan sabotaj #Menteri Besar Selangor #Noh Omar #pencemaran sungai semenyih