MALAYSIA
Penceramah kursus praperkahwinan perlu celik undang-undang – Mohd Na’im

Menurut Mohd Na'im, pendidikan perkahwinan bukan lagi bersifat rutin tetapi menjadi jambatan awal membina keluarga berprinsip, patuh syariah dan berdaya tahan. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam perlu memiliki kefahaman undang-undang syariah yang jelas agar mampu menyampaikan ilmu secara tepat, bukan sekadar menyentuh emosi tetapi memperkukuh pemahaman peserta mengenai hukum agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, pendidikan perkahwinan bukan lagi bersifat rutin tetapi menjadi jambatan awal membina keluarga berprinsip, patuh syariah dan berdaya tahan.
"Penceramah perlu celik undang-undang. Ilmu yang disampaikan tidak boleh hanya bersifat umum atau emosi semata-mata, sebaliknya perlu meningkatkan kesediaan peserta untuk membina rumah tangga yang memelihara hak dan tanggungjawab mengikut acuan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan 'Celik Undang-undang, Penceramah Lebih Cemerlang', di sini, hari ini.Mohd Na'im berkata, para penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) adalah pendidik, pendakwah (dai) dan pembimbing (murabbi) yang bertanggungjawab membina masa depan keluarga Muslim.
"Laksanakan amanah ini dengan berpaksikan lima nilai al-Falah iaitu Ilmu, Integriti, Itqan (kecemerlangan kerja), Istiqamah dan Ikhlas. Ini jati diri pendakwah yang bukan hanya menyampaikan isi modul, tetapi membawa semangat dan cita-cita membina masyarakat sejahtera," katanya.
Beliau berkata kefahaman undang-undang keluarga yang disampaikan juga perlu selari dengan Maqasid Syariah seperti dihuraikan oleh Imam al-Shatibi, iaitu bagi menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
"Modul MBKPI yang merangkumi aspek wali, nafkah dan penceraian adalah manifestasi maqasid dalam konteks kontemporari. Maka, tugas penceramah bukan hanya menyampaikan teori tetapi jalan hidup beragama dan bernegara," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua tokoh pembentang pada konvensyen berkenaan iaitu Prof Madya Dr Hasnizam Hashim daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Mohd Ihsan Mohammad Daud daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
Konvensyen tahun ini menghimpunkan 1,674 penceramah berdaftar dari seluruh negara yang aktif dalam mendidik masyarakat melalui kursus praperkahwinan Islam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami