MALAYSIA
Pencerobohan Israel terhadap konvoi GSF, tidak sesekali gugat misi FFC ke Gaza - Huwaida

Freedom Flotilla Coalation, kata Huwaida, akan terus berlayar dan mendesak kerajaan-kerajaan dunia untuk melakukan perkara yang betul. - Gambar Astro AWANI
GREECE: Freedom Flotilla Coalation (FFC) akan meneruskan pelayaran ke Gaza walaupun kapal-kapal yang terlibat dalam Global Sumud Flotilla (GSF) diceroboh tentera laut Israel.
Jawatankuasa Pemandu FFC, Huwaida Arraf menegaskan, sekiranya misi ini dihentikan, ia ibarat ‘menghalalkan’ kekejaman dan keganasan yang dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk di Gaza.
“Serangan terhadap sistem global ini, tidak akan mengubah haluan kami. Kerana jika ia berlaku, kita sebenarnya menyerah kepada kekejaman dan keganasan.
“Kami (FFC) akan terus berlayar dan mendesak kerajaan-kerajaan dunia untuk melakukan perkara yang betul. Kita tidak sepatutnya berada di sini untuk berhadapan dengan salah satu tentera paling kejam dan ganas di dunia.“Namun, keengganan dan kegagalan kerajaan global bertindak (menyebabkan kami perlu berada di sini). Mereka yang sepatutnya berada di hadapan, dan jika tidak di hadapan, mereka sepatutnya berada di belakang kami,” tegasnya.
Tambahnya, perbuatan tidak bertanggungjawab rejim Zionis terhadap konvoi GSF menyebabkan warga global perlu terus bangkit menentang kezaliman berterusan ini.
“Kami akan terus mendesak kerajaan global melakukan perkara yang betul dan berharap mesej ini akan sampai kepada rakan seperjuangan, warga global yang mahukan dunia yang selamat untuk sama-sama bertindak dan turun ke jalanan serta menghentikan segala penindasan ini,” tambahnya lagi.
Pada lewat malam Rabu, Tentera laut Israel menceroboh naik dua kapal misi konvoi GSF iaitu Alma dan Sirius pada 9.44 malam waktu Gaza (2.44 pagi waktu Malaysia) ketika kedua-duanya berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean.
Kapal Alma membawa tiga aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza iaitu Musa Nuwayri, lylia Balqis dan Sul Aidil manakala Kapal Sirius pula membawa Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi.
Terdahulu, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) berkongsi maklumat bahawa terdapat sembilan rakyat Malaysia yang berada di atas empat kapal misi GSF gagal dihubungi.
Dua lagi ialah Zizi Kirana (Kapal Huga) dan Ardell (Kapal Mikeno).
SNCC memaklumkan tindakan rejim Zionis memintas Kapal Alma disahkan secara visual oleh Kapal Morgana manakala bagi Kapal Sirius, isyarat kecemasan atau mayday serta pengesahan visual diterima daripada Kapal Grande Blue.
Sementara itu, Huwaida yang juga seorang Peguam Hak Asasi Manusia merupakan Jawantankuasa Pemandu FFC yang terlibat dalam misi pelayaran ke Gaza anjuran FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) menaiki kapal Conscience.
Gelombang ketiga ini turut disertai lapan kapal layar lain antaranya, Umm Saad, Leila Khaled, Gaza Sunbird, Milad, Alaa Al-Najar, Anas Al Sharif, Abd Elkarim Eid dan Soul of my Soul.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dengan Conscience membawa peserta paling ramai melibatkan 92 peserta dari 25 negara termasuk lapan peserta dari Malaysia.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami