AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh mendesak kerajaan bertindak tegas dalam isu pencerobohan perairan negara yang dilakukan kapal-kapal dari China.

Menurutnya, beliau sudah membangkitkan isu tersebut berulang kali kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan perkara serius dan melibatkan kedaulatan serta keselamatan negara.

“Ini perkara serius, malah saya pernah menerima gambar-gambar menunjukkan kapal-kapal perang China ini telah berada di dalam perairan negara. Persoalannya mengapa mereka begitu mudah menceroboh kedaulatan negara kita?

“Di mana APMM (Agensi Penguatkuasa Maritim) dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), mengapa biarkan sempadan negara diceroboh.

BACA: Pencerobohan kapal asing: TLDM kerah kapal tambahan ke EEZ perairan Sabah, Sarawak

BACA: Malaysia tidak akan berkompromi sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan - PM

“Ini bukan kapal biasa tapi merupakan kapal perang tentera asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau juga mencadangkan kerajaan segera mengemukakan nota bantahan kepada ASEAN dan mengesa dialog antarabangsa diadakan bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Ini bukan masanya untuk berdiam diri. Satu dialog khas juga perlu diadakan, kerana ini merupakan satu isu penting bagi memastikan kedaulatan negara dapat dikekalkan.

“Apa yang penting ASEAN perlu bertindak dengan lebih tegas lagi,” ujarnya.

BACA: Naib Presiden AS kritik tindakan China ceroboh Laut China Selatan

Perkara sama juga pernah dibangkitkan ADUN Bongawan, Daud Yusuf, berkata isu itu tidak boleh dianggap ringan disebabkan ancaman berkenaan semakin membimbangkan.

Menurutnya, laporan mendedahkan sejak 2021 pesawat pejuang 'Halimunan' China, J-20, dilaporkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.

Pemantauan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini mendapati sebanyak 23 kes pencerobohan oleh kapal China pada tahun 2021 di Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Laut China Selatan telah direkodkan.

BACA: Malaysia panggil Duta Besar China, bantah pencerobohan kapal ke perairan negara

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata Pengawal Pantai China (CCG) dikesan berada di perairan negara ini sejak 2013.

Bahkan, pada Julai 2020, Jabatan Audit Negara berkata Malaysia merekodkan 89 pencerobohan oleh CCG dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN) di perairan negara antara 2016 dan 2019.