KOTA MARUDU: Pencirian batuan di Kinabalu Geotapak adalah penting bagi menentukan tahap kepentingan nilai warisan sesuatu tapak atau monumen sama ada pada tahap setempat, daerah, kebangsaan mahupun global dalam penilaian tapak UNESCO Geopark Global.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) (Sabah) Dr Frederick Francis Tating berkata dalam penilaian itu pihaknya bertanggungjawab untuk mencirikan jenis batuan dan menerangkan proses pembentukan struktur di sesuatu tapak geologi secara saintifik iaitu bagaimana proses itu berlaku dan juga kesannya.

Beliau berkata JMG Sabah memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu untuk menjalankan proses pencirian terperinci serta struktur batuan setiap geotapak Kinabalu Geopark di tiga daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau.

"Kadangkala sesuatu tapak geologi atau monumen geologi mempunyai cerita tersendiri seperti mitos mahupun kepercayaan masyarakat setempat, dan apabila hasil serta kesan proses geologi ini dikaitkan dengan cerita mitos tempatan ia menjadi perkara yang menarik.

"Penilaian satu atau dua minggu tetapi tempoh itu juga bergantung kepada keluasan dan bentuk muka bumi di tapak berkenaan," katanya kepada Bernama pada jelajah penilaian akhir Kinabalu Geopark sebagai tapak UNESCO Geopark Global baru-baru ini.

Penilaian akhir selama empat hari berakhir Khamis lepas akan menentukan kelayakan Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Geopark Global.

Terdapat 46 geotapak atau tapak warisan geologi telah dikenal pasti dalam kawasan Kinabalu Geopark antaranya termasuk Topi Raja Kampung Lingkubang, Serpentinite (jenis batuan) Kompleks Sukan Ranau, Ultrabasic (jenis batuan) Perancangan, Kolam Air Panas Poring dan Ultrabasic habitat Kinabalu.

Mengambil contoh geotapak di Sungai Baliajong, Kota Marudu iaitu antara kawasan terlibat dalam penilaian akhir, Frederick berkata berdasarkan fosil radiolaria (sejenis plankton sel tunggal) yang diekstrak daripada lapisan batuan mendapati batuan di kawasan berkenaan berusia antara 90 hingga 130 juta tahun.

Beliau berkata batuan yang terdapat di sepanjang sungai itu pada asalnya hanya terdapat dalam kerak lautan kuno tetapi proses geologi lampau telah menyebabkan batuan terdedah di permukaan bumi.

Antara jenis batuan yang dijumpai di sepanjang kira-kira dua kilometer sungai itu termasuklah batu pasir, batu lumpur, rijang, basalt, gabro dan Serpentinite selain terdapat kepelbagaian fitur geomorfologi, sejarah perlombongan, kepelbagaian biologi dan warisan budaya.

Frederick berkata sebuah lubang yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai 'Luang Mondou' secara saintifiknya terbentuk akibat hakisan pada lapisan batuan rijang terletak di tebing sungai itu juga dikaitkan dengan mitos tempatan malah turut dicatatkan pada papan tanda di kawasan geotapak berkenaan.

Mitos 'Luang Mondou' mengisahkan tentang seekor makhluk bertubuh besar serta berbulu lebat telah menggali lubang itu sebelum melarikan diri apabila seorang lelaki bertindak menakut-nakutkan makhluk berkenaan.

-- BERNAMA