Pendaki Gunung Suku hanyut: Pasukan penyelamat temukan cebisan kain

Amirrul Rabbani
Mei 17, 2022 08:14 MYT
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga memberi tumpuan kepada kemungkinan petunjuk baru seperti hurungan lalat dan bau. - Gambar fail/JBPM
IPOH: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai, di sini, pada Ahad menemukan cebisan kain yang dipercayai daripada sehelai pakaian.
Walau bagaimanapun pasukan SAR berkenaan masih belum dapat mengesahkan sama ada cebisan pakaian itu adalah milik mangsa atau sebaliknya.
Timbalan Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata cebisan pakaian berkenaan dijumpai kira-kira pada jam 1 tengah hari, berhampiran lokasi penemuan anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang mangsa berkenaan semalam.
“Pasukan penyelamat ada menemukan cebisan dipercayai pakaian berkemungkinan milik mangsa. Sedia maklum apabila berlaku kejadian sebegini, memang kita akan menemukan cebisan-cebisan seperti pakaian, akan tetapi ia bukan menunjukkan kedudukan sebenar mangsa.
“Walau bagaimanapun, pasukan penyelamat belum dapat mengesahkan (sama ada ia milik mangsa atau tidak). Cuma berdasarkan kepada maklumat awal, cebisan pakaian itu berkemungkinan sama dengan pakaian dipakai salah seorang daripada mangsa.
“Akan tetapi saya katakan sekali lagi, ia masih belum dapat disahkan benar milik mangsa atau pun tidak,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini, pada Selasa.
BACA: Dua pendaki hilang di Gunung Suku dihanyut arus deras selepas ditimpa kepala air
Ditanya tentang jenis cebisan pakaian berkenaan, Umrani memberitahu pihaknya tidak dapat mengenal pasti adakah ia baju atau seluar kerana keadaan cebisan kain yang telah hancur.
“Tidak dapat dipastikan cebisan kain itu sama ada daripada baju atau lain-lain. Ini kerana ketika ditemukan, keadaan cebisan kain itu telah hancur,” jelas beliau.
Selain cebisan kain beliau berkata pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk baru yang lain.
Terdahulu Umrani berkata operasi SAR dua pendaki wanita yang memasuki hari ketiga itu memberi tumpuan kepada kemungkinan petunjuk baru seperti hurungan lalat dan bau.
Katanya operasi yang melibatkan laluan sejauh 1 kilometer (km) di tempat kejadian dengan gerak kerja yang memerlukan kepada peralatan seperti cangkul dan skop
Tambah beliau lagi ini kerana pasukan penyelamat mengesyaki mangsa yang terlibat berada pada kedudukan di bawah lumpur dan juga timbunan kayu yang dibawa kepala air.
[TERKINI] Bomba Perak jumpa separuh tubuh manusia di Gunung Suku, Perak
Media sebelum ini melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad, dikhuatiri dihanyutkan kepala air.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras dan Klang.
#Gunung Suku #pasukan penyelamat #SAR #simpang pulai #JBPM #kepala air