SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang didapati positif COVID-19 meninggal dunia ketika mendaki Bukit Haji Yusuf, Kampung Berapit dekat Tikam Batu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata Azlan Ahmad, 45, dari Kampung Alor Bemban, Tikam Batu, ke lokasi terbabit seorang diri jam 7 pagi.

Katanya, seorang saksi ternampak mangsa berhenti dan duduk dalam kepenatan sambil memegang dada ketika menuruni bukit itu pada pukul 11 pagi.

"Saksi itu kemudian turun ke kaki bukit untuk meminta bantuan dan sebaik kembali semula ke lokasi didapati mangsa telah terbaring tidak sedarkan diri.

“Saksi kemudian membuat panggilan kecemasan dan tidak lama selepas itu pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan keputusan hasil ujian saringan mendapati mangsa positif COVID-19.

Jelas Zaidy hasil soal siasat mendapati mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan dan penyakit kronik, namun hanya pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini.

Menurut Zaidy, siasatan pihaknya di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes dikelasifikasikan sebagai mati mengejut.