Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima laporan pendapatan 500 nelayan terjejas ekoran aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, kebanyakan nelayan terbabit ialah dari sekitar Beserah dan mereka yang menangkap ikan di sekitar Pelabuhan Kuantan.

"Hasil tangkapan nelayan berkenaan berkurangan. Masalah ini akan terus dihadapi nelayan terlibat selagi urusan bauksit ini tidak dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis amanat tahun baharu beliau kepada warga kementerian di Wisma Tani di sini hari ini.

BACA: Penduduk Kuantan mengeluh pencemaran bauksit. Apa tindakan?

Mengenai tanaman yang terjejas dengan aktiviti perlombongan bauksit itu, Ahmad Shabery berkata kebanyakan pokok kelapa sawit yang terdapat di kawasan tersebut 'dipotong terus'.

"Pasti ada sektor pertanian lagi yang akan dikenal pasti terjejas ekoran aktiviti perlombongan bauksit. Pada masa ini, kebanyakannya ialah penanaman kelapa sawit dan aktiviti perikanan," katanya.

Kabinet pada minggu lepas mengeluarkan arahan supaya aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan dihentikan selama tiga bulan mulai 15 Jan (Jumaat) ini.

Perlombongan bauksit yang tidak terkawal di kawasan Bukit Goh, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sejak pertengahan 2014 menyebabkan penduduk di situ menanggung kesan debu teruk manakala air sungai dan laut bertukar warna menjadi merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit selepas hujan pada 28 Dis lepas.

BACA: SPRM panggil enam pegawai PTG Pahang bantu siasatan