LANGKAWI:Sektor pelancongan di Langkawi mengalami penyusutan pendapatan sekitar RM800 juta sejak Mac lalu.

Angka tersebut disebabkan penurunan mendadak ketibaan pelancong ke pulau legenda itu iaitu 1.16 juta pelancong berbanding 3.96 juta pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir, kesan pengurangan ketibaan pelancong itu menyebabkan ramai pengusaha produk serta perhotelan sukar untuk meneruskan perniagaan.

Jelasnya, Langkawi berjaya mencatat pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM1.7 bilion pada tahun lalu, namun angka itu kini tidak dapat direalisasikan.

"Kita lumpuh sebabkan pintu sempadan tutup dan rentas daerah tidak dibenarkan.

"Pelaksanaan PKPB di negeri Lembah Klang yang menjadi sasaran pelancong mengurangkan lagi jumlah ketibaan pelancong.

"Data yang kita peroleh daripada LADA ini menunjukkan penyusutan mendadak jumlah pendapatan sekitar RM800 juta jika nak dibandingkan dengan pendapatan tahun lalu sahaja RM1.7 bilion," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas beliau, 90 peratus ekonomi di Langkawi adalah bergantung kepada sektor pelancongan.

Dalam pada itu, bercakap mengenai inisiatif dan insentif diberikan kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), LTA berharap agar baucar pelancongan dapat diagihkan kepada lebih banyak lagi kepada jenis sektor pelancongan.

"Sekiranya ia diberikan kepada beberapa sektor pelancongan sahaja, maka pemain industri pelancongan lain tidak dapat merasai kelebihan ini.

"Saya harap kerajaan boleh meneliti semula untuk menyalurkan insentif secara adil kepada seluruh pemain industri," katanya.

Harapan besar diletakkan kerajaan untuk meneliti semula rentas daerah, negeri bagi menggalakkan pelancongan domestik.