KUALA LUMPUR :Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, kementeriannya akan terus komited meningkatkan kesedaran dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya ingin menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham adik Zubaidi Amir Qusyairi bin Abdul Malik pada 29 Januari 2021.

“Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham disiasat segera dengan teliti, dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi, disamping menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Kementerian akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta memastikan tindakan tegas di ambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau pada masa sama berharap agar masyarakat turut menjadi “mata dan telinga” kepada pihak kerajaan dan memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat.

“Rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

“Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

“Dalam hal ini, saya turut menasihatkan kepada pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana yang tertakluk dalam Akta Kanak kanak 2001,” ujarnya.