KUALA LUMPUR : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan, penderaan seksual kanak-kanak adalah yang tertinggi berbanding bentuk penderaan lain dalam kalangan golongan itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM Wan Noraidah Wan Mohd Zain, berdasarkan statistik setakat 2022, 1,168 kes direkodkan melibatkan penderaan seksual kanak-kanak.

Antara punca yang dikenal pasti sebagai faktor utama penderaan terhadap kanak-kanak adalah masalah ekonomi yang dihadapi ibu bapa.

“Penderaan seksual adalah paling tinggi, di mana berdasarkan kes statistik penderaan, 6,770 kes dilaporkan pada 2022, penderaan seksual paling tinggi, iaitu sebanyak 1,168.

"Ia diikuti penderaan fizikal (1,306), emosi (128). Dan daripada jumlah ini, (bilangan) kanak-kanak perempuan paling tinggi, terutamanya dalam penderaan seksual.

“Ia menunjukkan masalah ekonomi adalah masalah utama yang menjadi punca kenapa berlakunya penderaan, diikuti perbalahan keluarga.

“Ekonomi keluarga memberi kesan kepada ibu bapa dan seterusnya memberi kesan kepada kanak-kanak, yang menjadi mangsa,” katanya dalam program Pantau Kos Sara Hidup Astro AWANI hari ini.

Tambah Wan Noraidah, sekiranya anak-anak melakuan kesalahan, ibu bapa seharusnya boleh membezakan tindakan yang dikenakan terhadap kanak-kanak, sama ada mendidik atau mendera.

Ujarnya, ibu bapa boleh mendidik dengan menghukum anak-anak tetapi tidak sepatutnya meninggalkan kesan terhadap fizikal dan emosi mereka. 

Ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak-anak berhubung tindakan berbentuk hukuman yang dikenakan terhadap mereka.

Bagi menangani kes penderaan kanak-kanak di negara ini, Wan Noraidah menggesa agar masyarakat umum memainkan peranan dengan melaporkan sekiranya mendapati ada kes penderaan yang berlaku di sekeliling mereka.

“Selain daripada ibu bapa, kanak-kanak juga perlu tahu hak mereka, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, oleh ibu bapa atau penjaga mereka," tambahnya.

Beliau berkata, JKM ketika ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan program advokasi bagi mencegah berleluasanya kes penderaan kanak-kanak.

“Pendedahan ini amat penting terutamanya kepada ibu bapa dan masyarakat setempat untuk memahami peranan mereka demi memastikan keselamatan anak-anak terjamin,” ujarnya.

Pantau Kos Sara Hidup: Kos sara hidup dan penderaan kanak-kanak

Sementara itu, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dari Universiti SEGi, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor turut berpendapat ekosistem yang kian berubah ketika ini antara punca peningkatan kes penderaan terhadap kanak-kanak.

Jelasnya, ia termasuk perubahan persekitaran infrastruktur, status sosioekonomi, dan geoekonomi antara faktor-faktor berlakunya penderaan kanak-kanak.

“Kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam semua lapisan masyarkat termasuk keluarga, B40, M40 dan T20.

“Kita tidak boleh katakan kes penderaan hanya berlaku dalam keluarga B40 sahaja, malah semua lapisan masyarkat akan mempunyai kes ini perbezaan hanya sama ada peratusan tinggi atau rendah.

“Kos sara hidup memainkan peranan penting kerana kos sara hidup menjamin salah satu perkara termasuk kebahagiaan dan keselesaan rumah tangga. Jika sekiranya ada kesempitan wang, pastinya emosi tidak stabil dengan keadaan anak-anak memang aktif,” ujarnya.

Tegasnya, apa yang menjadi kebimbangan utama adalah penderaan terhadap kanak-kanak ini bakal memberikan kesan jangka pendek dan panjang terhadap golongan itu.

“Tidak mustahil sebenarnya segelintir pendera adalah mangsa dera. Untuk kesan jangka masa panjang kanak-kanak ini berisiko mengalami  Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).

“Untuk jangka pendek pula, kanak-kanak ini berisiko terbantut, tidak yakin diri dan semua kemahiran ini adalah perlu untuk kesinambungan hidup.

“Apa yang perlu dibimbangi juga adalah mentaliti mereka akan sentiasa bersifat negatif tterhadap perskitaran dan memerlukan rawatan untuk pulih dalam keadaan trauma,” jelasnya.