KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara kini dikatakan berdepan krisis ketidaksamarataan yang parah apabila ia bukan lagi bertindak sebagai instrumen mobiliti sosial (the great equalizer), sebaliknya menjadi ejen pemisah (the great divider), yang melebarkan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin.
Pakar ekonomi yang juga Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Muhammad Abdul Khalid menegaskan, peruntukan sektor pendidikan yang mencecah puluhan bilion ringgit tidak mencerminkan keberhasilan sebenar anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau mendedahkan, jurang pendidikan bermula daripada krisis literasi awal apabila sekitar 42 peratus murid berusia 11 tahun mengalami masalah kemiskinan pembelajaran (learning poverty), disusuli prestasi membimbangkan dalam peperiksaan SPM membabitkan mata pelajaran teras.
"Dalam keputusan SPM, satu daripada lima calon gagal Matematik, dan jika dicampurkan gred D, E serta F, kadarnya mencecah 50 peratus. Bagi Bahasa Inggeris pula 40 peratus, manakala Sains satu daripada tiga.
"Matematik adalah subjek paling adil dan tidak mendiskriminasi latar belakang sosial, namun anak orang miskin terus tercicir berbanding anak T20 yang mencatat prestasi mengatasi purata global dalam pentaksiran antarabangsa.
“Sistem hari ini akhirnya menghukum anak-anak orang susah," tegasnya lagi ketika berucap pada Konvensyen Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
Menurut Muhammad, keciciran akademik anak miskin tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kegagalan ekonomi dan malnutrisi seawal sebelum usia enam tahun.
Kajian menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut (stunting) akibat kemerosotan kuasa beli makanan bernutrisi, dengan kadar pertumbuhan gaji sebanyak tujuh peratus, jauh ketinggalan berbanding lonjakan harga makanan sebanyak 17 peratus antara 2019 hingga 2025.
Bagi merombak kepincangan tersebut, beliau menggesa kerajaan melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sejagat kepada semua murid sekolah rendah tanpa mengehadkannya kepada status miskin tegar semata-mata yang kini hanya merangkumi 0.1 peratus isi rumah.
Langkah itu tegasnya lagi, bukan sahaja memadam stigma sosial dalam kalangan murid, malah menyuntik pendapatan terus kepada rantaian 10,000 sekolah membabitkan pesawah dan petani tempatan serta mengurangkan kebergantungan import makanan.
Pada masa sama, beliau menuntut kerajaan menghentikan pembaziran skim subsidi bahan api pukal yang regresif, dan lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi, agar dana berkenaan dapat disalurkan secara bersasar bagi membiayai nutrisi lengkap anak-anak sekolah, di samping menaikkan gaji minimum secara berperingkat ke arah gaji wajar.
Muhammad turut menegaskan kepentingan membentuk karakter dan jiwa merdeka murid dengan menyingkirkan minda feudal menerusi pembacaan karya kritis seperti Kisah Pelayaran Abdullah serta terjemahan Za'ba untuk novel Mark Twain, Anak Raja dan Anak Papa.