MULAI minggu lalu, kita telah menyaksikan fenomena pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pulang ke rumah dan kampung halaman masing-masing selepas menetap di kampus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu.
Penghantaran pulang mereka diuruskan sangat rapi dan tersusun dengan kerjasama universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Media tidak ketinggalan merakam detik pelepasan dan perjalanan pulang pelajar ini.
Alhamdulillah, kini hampir 100,000 pelajar yang terlibat telah selamat pulang ke pangkuan keluarga. Sudah tentu, kepulangan mereka disambut dengan penuh syukur dan linangan air mata oleh keluarga terutama dalam bulan Ramadan dan menjelang Syawal.
Rata-rata pelajar pula mengungkapkan rasa berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak terlibat kerana membantu kepulangan mereka dengan jayanya.
Pun begitu, terdapat segelintir pelajar yang tekad untuk kekal di kampus dengan alasan tersendiri. Kita doakan semoga mereka berada dalam keadaan yang baik.
Impak pandemik COVID-19 sudah tentu melekat kuat dalam pemikiran rakyat Malaysia khususnya warga IPT.
Fenomena pelajar pulang ke rumah dan kampung halaman baru-baru ini adalah antara banyak contoh bagaimana pandemik itu memberi kesan yang besar kepada warga IPT.
Kita percaya selepas ini, suasana tentu banyak berubah. Malah kita perlu menerima hakikat bahawa sebuah norma baharu perlu kita tangani dengan persediaan yang rapi.
Pendidikan tinggi adalah antara sektor yang menerima kesan signifikan daripada pandemik COVID-19.
Empat aspek utama, iaitu governan dan sistem pengurusan IPT, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta pengantarabangsaan dan perancangan strategik sedang mengalami proses pembetulan seiring dengan impak COVID-19.
Hal ini diperbincang secara panjang lebar dan kritikal dalam satu Wacana Khas COVID-19 yang bertajuk “Pendidikan Tinggi di Malaysia Pasca COVID-19: Perubahan atau Kesinambungan?” anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) baru-baru ini.
Wacana ini telah mengetengahkan pandangan pemimpin daripada pelbagai universiti awam, iaitu Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismai, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Shahir Shamsir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Penolong Naib Canselor (Pengurusan Strategi dan Kualiti), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Banyak pihak bertanya, apakah governan dan sistem pengurusan IPT kita boleh menampung perubahan kesan pandemiK COVID-19 ini?
Kita akui, IPT kita pernah berhadapan dengan situasi bencana alam seperti banjir dan jerebu sebelum ini, akan tetapi kesan pandemik ini jauh berbeza.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah, kuliah terpaksa ditangguhkan dalam tempoh yang agak lama manakala pensyarah dan staf universiti diminta untuk bekerja daripada rumah.
Panel berpandangan governan dan sistem pengurusan IPT sedia ada sebenarnya masih dapat menampung perubahan kesan pandemik dengan baik. Namun, IPT perlu mengenal pasti kaedah dan cara bekerja yang berbeza sahaja bagi menangani perubahan yang berlaku. Sebagai contoh, memupuk budaya kerja yang fleksibel, berfikir di luar kelaziman selain memberi tumpuan kepada pengurusan risiko dan perancangan senario bagi meminimumkan impak kepada institusi.
Cara bekerja atas talian mungkin boleh menggantikan cara bekerja secara konvensional terutama melibatkan perjalanan selepas ini. Perkembangan ini sudah tentu boleh banyak menjimatkan kos operasi universiti dengan budaya kerja baharu tanpa banyak pergerakan fizikal. Bekerja atas talian bermakna kita tidak lagi memerlukan ruang bekerja fizikal yang maksimum. Justeru, keperluan kampus yang besar mungkin tidak lagi relevan pasca COVID-19.
Dasar atau polisi bekerja daripada rumah, iaitu sehari dalam tempoh lima hari bekerja seminggu pada masa akan datang boleh dicadang. Ini sudah tentu dapat menjayakan waktu bekerja anjal sekali gus menjimatkan kos operasi. Namun, cadangan ini perlu diperhalusi terlebih dahulu dengan kaedah terbaik sebelum boleh menjadi satu dasar atau polisi bekerja. Kita percaya budaya kerja daripada rumah bukan lagi suatu pilihan, tetapi kemestian selepas PKP berakhir sepenuhnya kelak.
Aspek pengajaran dan pembelajaran menjadi aspek paling terkesan daripada pandemik COVID-19. Malah, COVID-19 dilihat sebagai agen transformasi dan pemangkin kepada pelaksanaan pembelajaran secara maya secara radikal. Penangguhan kuliah tidak sama sekali mengganggu proses pembelajaran kerana pembelajaran bersemuka kini boleh digantikan dengan pembelajaran maya.
Ada pihak meragui keberkesanan pelaksanaan pembelajaran maya ini kerana faktor jurang digital. Jurang mereka yang berada di bandar dan luar bandar, kaya dan miskin. Ada laporan juga mendakwa pembelajaran maya akan meninggalkan jauh masyarakat miskin daripada terus menikmati pembelajaran. Namun, kita percaya hal ini boleh kita tangani dengan baik melalui pelbagai pilihan pendekatan. Apa yang lebih penting, capaian internet perlu ditambah baik secara berterusan kerana kita tidak mahu melihat ada pihak yang gagal mendapat hak pendidikan hanya kerana masalah akses.
Satu perkara penting yang perlu kita insafi dalam situasi COVID-19 ini adalah kita tidak seharusnya terikat dan taasub dengan peralihan kaedah pembelajaran daripada konvensional kepada maya semata-mata. Hal ini tidak wajar menjadi satu-satunya fokus kita. Sebaliknya, kesan daripada pandemik COVID-19 ini juga memberi peluang kepada kita untuk menilai semula kandungan pendidikan secara keseluruhan.
Selain aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi turut terkesan daripada COVID-19. Aktiviti penyelidikan dan inovasi terutama melibatkan sains dan teknologi terpaksa ditangguhkan kerana kekangan pergerakan. Para penyelidik kita tidak bebas ke makmal dan turun ke lapangan. Lantas, ada pihak mempersoalkan, bagaimana aktiviti penyelidikan ini boleh diteruskan sama seperti pembelajaran maya? Kita masih belum ada jawapan yang konkrit untuk soalan ini. Justeru, ada cadangan agar satu garis panduan boleh dibangunkan bagi menjayakan penyelidikan semasa krisis. Sama seperti aspek pengajaran dan pembelajaran.
Satu hal yang menarik dalam aspek penyelidikan dan inovasi sewaktu krisis adalah fokus hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh menangani COVID-19 atau dalam kata lain, menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Dalam hal ini, COVID-19 seharusnya juga menjadi agen transformasi, iaitu menggerakkan pegangan penyelidikan untuk ilmu kepada penyelidikan untuk masyarakat.
Meskipun menerima hakikat bahawa kajian mengenai perubatan dan kesihatan awam akan lebih mendapat tempat dan mencuri perhatian pemberi dana penyelidikan pasca COVID-19, kajian berbentuk transdisiplin perlu diperkukuh kerana ia boleh memberi hasilan yang lebih menyeluruh dan bermakna. Penawaran geran khas penyelidikan pasca COVID-19 oleh KPT sebelum ini, sewajarnya menghasilkan dapatan pelbagai perspektif yang boleh membantu penggubalan dasar dan polisi baharu pada masa akan datang.
COVID-19 telah mengakibatkan agenda pengantarabangsaan dalam keadaan huru-hara. Ada tulisan menyebut agenda ini memerlukan lebih banyak masa sehingga lima tahun sebelum kembali normal. Naratif pengantarabangsaan selama ini yang meletakkan penjanaan pendapatan sebagai motif utama dilihat tidak mampu lagi bertahan. Pelajar asing dan mobiliti pelajar yang semakin mengecil mengurangkan kantung universiti. Universiti di luar negara terutamanya menerima kesan besar daripada situasi COVID-19 ini lantas mendesak campur tangan kerajaan agar menyuntik bantuan kewangan.
Malaysia juga meletakkan pengantarabangsaan pelajar sebagai salah satu usaha penjanaan pendapatan dengan kemasukan pelajar asing. Sebelum ini, penjanaan pendapatan melalui agenda ini tersenarai dalam Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA. Justeru, impak COVID-19 mendesak kita menilai semula naratif pengantarabangsaan ini. Apakah naratif sedia ada masih relevan atau kita perlu mencari naratif baharu yang lebih bermakna dan lestari, misalnya perkongsian ilmu. Panel melihat naratif pengantarabangsaan perlu disemak semula dengan memberi fokus baharu seperti perkongsian ilmu secara global dan komitmen menjayakan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDGs. Apa yang jelas, naratif pengantarabangsaan sebagai satu komoditi tidak lagi lestari.
Tidak dinafikan, pendidikan tinggi di Malaysia pasca COVID-19 terdedah kepada dua situasi utama. Pertama, university semakin intim dengan teknologi dan pada masa yang sama, universiti semakin mengenal erti kemanusiaan. Keseimbangan teknologi dan kemanusiaan sangat penting ketika ini. Lebih kritikal, norma baharu yang seringkali diuar-uarkan, mestilah dipasakkan dengan pemikiran dan sikap yang betul. Kita khuatir, tanpa pemikiran dan sikap yang betul, kita hanya akan mengalami keterujaan yang sama seperti sebelum ini.
Tuntasnya, sepanjang situasi COVID-19 ini, universiti kita telah cakna dan banyak belajar. Belajar untuk berubah dan mengenal hakikat penubuhan untuk terus berkesinambungan. Perubahan dalam kesinambungan ini akan membentuk bagaimana rupa baharu pendidikan tinggi negara.
* Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Pengajian Tinggi, 2009-2013.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan sidang pengarang Astro AWANI.
Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain
Thu May 07 2020
Tidak pernah berlaku dalam sejarah kuliah terpaksa ditangguh agak lama manakala pensyarah dan staf universiti diminta bekerja dari rumah.
645 perajurit muda TLDM tamat Kursus Asas Tentera Laut
Sebanyak 645 perajurit muda TLDM berjaya menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) di Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM, Kapal Diraja (KD) Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, di sini hari ini.
Malaysia miliki potensi besar melangkaui pensijilan - PM
Malaysia mempunyai potensi besar dalam mengembangkan perdagangan industri halal yang mempunyai nilai dagangan melebihi 1 trilion dolar amerika berdasarkan kekuatan dan pengiktirafan pensijilan dimiliki.
BN perlu lebih ke hadapan suarakan isu perubahan- Zahid
Barisan Nasional (BN) perlu lebih ke hadapan dalam menyuarakan isu perubahan iklim, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.
Vivy, Fadza yakin sistem keadilan akan bersihkan nama
Pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Qatar sedang berbincang dengan trump untuk laksanakan genjatan senjata
Sheikh Mohammed berkata, Trump telah menyatakan hasratnya untuk melihat konflik di Wilayah Palestin itu diselesaikan sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat.
9.5 kg dadah jenis kokain dirampas
Menurut Ketua Komunikasi Direktorat kawalan dadah Kebangsaan, Carlos Denvers, dadah itu disembunyikan di dalam sebuah kontena penghantaran pisang di pelabuhan Santo Domingo, Republik Dominika.
Negara anggota BRICS tidak berminat melemahkan Dolar Amerika
Negara-negara BRICS langsung tidak berminat untuk melemahkan Dolar Amerika Syarikat. Itu penegasan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar pada satu acara di Doha, Qatar pada Sabtu.
Peminat Taylor Swift berkumpul di Vancouver untuk konsert terakhir Eras Tour
Keterujaan itu menyerlah apabila mereka bukan sahaja bergambar dengan pemasangan seni "Swiftcouver" yang memukau, tetapi juga bertukar gelang persahabatan yang menjadi simbol ikatan antara Swifties.
Qatar sambung semula peranan pengantara gencatan senjata
Qatar memulakan semula peranan negara itu sebagai pengantara rundingan gencatan senjata di Gaza.
30 kampung di Kuala Krai dijangka banjir Isnin hingga Jumaat ini
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Khamis lepas.
Banjir: Selaras bank tawar moratorium kepada peminjam terjejas - Ahmad Fadhli
Kementerian Kewangan dicadang menyelaraskan moratorium semua institusi perbankan yang menawarkan kemudahan itu kepada peminjam yang terjejas akibat banjir.
Gaji bakat dalam industri digital diunjur stabil pada 7.19 peratus tahun ini - PIKOM
Pertumbuhan gaji bakat dalam industri digital di Malaysia diunjur stabil, masing-masing pada 7.19 peratus tahun ini dan 7.12 peratus pada 2025, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia.
Jepun catat peningkatan kes pneumonia mycoplasma
Jepun mencatat peningkatan kes pneumonia mycoplasma, dengan purata 2.84 pesakit dilaporkan bagi setiap institusi perubatan di seluruh negara untuk minggu yang berakhir pada 17 Nov.
Dasar ekonomi Trump boleh tambah RM19.7 bilion kepada KDNK Malaysia - Juwai IQI
Dasar ekonomi Donald Trump dijangka memberi kesan besar ke atas ekonomi Malaysia, dengan unjuran menunjukkan cara Presiden AS itu boleh menyumbang RM19.7 bilion kepada KDNK negara.
Jabatan Kesihatan Kelantan rekod tiga kematian akibat denggi
Sebanyak tiga kematian direkodkan akibat demam denggi di Kelantan setakat 9 Nov lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Pertumbuhan ASEAN diunjur kukuh pada 4.6 peratus - IMF
Pertumbuhan bagi negara anggota ASEAN diunjur pada 4.6 peratus pada 2024 dan pada 4.7 peratus pada 2025, sebahagian besarnya disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.
IATA gesa Thailand perkukuh sektor penerbangan
Potensi penerbangan Thailand adalah menggalakkan dengan jumlah penumpang dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.88 peratus dari 2024 hingga 2043.
Wanita kreatif hasilkan seni bingkai pokok duit, kebaya dan ranting
Minat atau hobi terhadap bidang seni boleh membuahkan karya yang bukan sahaja unik serta menakjubkan tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan.
Mahkamah arah Qantas bayar pampasan kepada 1,700 pekerja yang dipecat secara tidak sah
Syarikat penerbangan terbesar Australia, Qantas, diperintahkan membayar pampasan yang besar kepada 1,700 pekerja yang dipecat secara tidak sah semasa pandemik COVID-19.
Laporan PBB: Kemiskinan tegar dunia meningkat pertama kali dalam tempoh 20 tahun
Dunia menyaksikan peningkatan kemiskinan tegar buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun dan ketidaksamaan meningkat dengan ketara serta kekal tinggi.