MERSING: Penduduk Kampung Baru Jemari, di sini terpaksa meredah air sejauh tiga kilometer untuk mendapatkan bekalan makanan selepas jalan utama di kampung berkenaan ditenggelami air sejak semalam.

Seorang penduduk, Maszila Edal, 27, berkata, mereka telah dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Mersing dan Politeknik Mersing, semalam selepas lima hari berlindung di situ.

"Selepas keluar dari PPS tengah hari semalam, penduduk kampung terus balik ke rumah masing-masing memandangkan pihak berkuasa memaklumkan keadaan sudah selamat.

"Bagaimanapun, hujan kembali lebat mulai petang semalam dan baru reda pagi ini menyebabkan air dari Sungai Jemari melimpah dan jalan utama untuk keluar masuk kampung ini terputus. Ramai penduduk kampung tiada bekalan makanan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

DAPATKAN LIPUTAN KOMPREHENSIF BERHUBUNG BANJIR 2023 DI SINI

Sehubungan itu, Maszila berkata kira-kira separuh daripada penduduk kampung berkenaan mengambil keputusan untuk berjalan kaki meredah air, manakala sebahagian lagi menaiki bot persendirian dan bot milik ketua kampung bagi mendapatkan bekalan makanan di pekan berhampiran.

Adiknya, Fatin Syuhada, 22, pula berkata beliau bersama suami Abbil Haqim, 40, dan anak berusia tiga tahun terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan malam tadi kerana gagal meredah limpahan air tersebut.

"Selepas keluar dari PPS petang semalam, kami sekeluarga pergi cari barang di bandar Mersing dahulu dan balik ke kampung pada sebelah malam tanpa mengetahui sebenarnya jalan utama telah terputus.

"Disebabkan air agak dalam hingga ke paras pinggang, kami tak berani nak redah. Kami buat keputusan tidur di dalam kereta sementara menunggu air surut," katanya.

Fatin Syuhada berkata ketika ini mereka sedang menunggu arahan daripada ketua kampung dan pihak berkuasa sama ada perlu berpindah semula ke PPS atau sebaliknya.

"Kalau ikutkan hanya dua atau tiga buah rumah sahaja yang dinaiki air, manakala yang lain hanya berdepan masalah tiada bekalan makanan disebabkan jalan terputus," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati hujan mula reda pada kira-kira 11 pagi tadi, namun limpahan air di jalan utama belum menunjukkan tanda untuk surut.

Beberapa penduduk kampung juga dilihat keluar masuk sambil meredah air untuk mendapatkan bekalan makanan.

-- BERNAMA