MALAYSIA
Penduduk Kampung Sungai Baru tuntut rumah disiapkan segera

Sidang media Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah & Kebajikan Kg Sungai Baru Kuala Lumpur di Gateway Hall, Gerbang Kerinchi Lestari pada Ahad. - Gambar Astro AWANI
Kuala Lumpur: Penduduk Kampung Sungai Baru tidak lagi sanggup menunggu selepas hampir sembilan tahun projek pembangunan semula penempatan mereka masih gagal disiapkan.
Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, perjanjian asal yang dimeterai dengan pemaju jelas menjamin setiap penduduk mendapat rumah baharu secara percuma, selain elaun sewa dibayar sepanjang tempoh perpindahan.
Menurutnya, kelewatan projek bukan berpunca daripada masalah kewangan pemaju, sebaliknya disebabkan isu perundangan yang berlarutan hingga menjejaskan jadual pembinaan.
“Kami juga ada penasihat undang-undang. Penduduk bukan tidak tahu, tetapi kecewa kerana projek terlalu lambat akibat isu mahkamah, bukannya kerana pemaju tiada kemampuan.“Satu lagi perkara yang kami mahu perbetulkan, penduduk telah menandatangani perjanjian dengan pemaju ini setelah melalui rundingan panjang. Kononnya ia berasal dari Singapura hanyalah dakwaan dan tuduhan tidak benar.
“Perkara-perkara sebegini boleh menimbulkan kekeliruan sesetengah penduduk terutama mereka yang berusia. Masalah ini juga sudah pasti melambatkan dan menimbulkan masalah kepada pembinaan projek itu kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah & Kebajikan Kg Sungai Baru Kuala Lumpur di Gateway Hall, Gerbang Kerinchi Lestari pada Ahad.
Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Baru, Sabariah Hamdan, melahirkan rasa terkilan apabila terdapat pihak tertentu yang tidak bersetuju sejak awal tetapi menimbulkan masalah sehingga projek tergendala.
“Apa yang saya kesalkan, mereka yang enggan bersama dalam pembangunan ini akhirnya menjadi punca kelewatan. Kami hanya mahu rumah kami siap secepat mungkin.
“Saya dan penduduk lain mahukan penempatan dijanjikan itu siap selewat-lewatnya awal tahun depan dan boleh didiami. Kepada penduduk yang tidak mahu rumah yang dijanjikan, saya merayu jangan timbulkan kekecohan sehingga boleh menimbulkan masalah kepada penduduk lain,” jelasnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Eddy Zulkarnain Bukhari berkongsi impian agar projek dapat berjalan lancar tanpa diganggu isu politik atau pertikaian yang memanjangkan masalah.
“Saya dan keluarga telah menunggu projek ini disiapkan begitu lama, kami sanggup menunggu projek itu siap kerana di situ orang tua kami bersusah payah membina kediaman sebelum ini.
“Kami merayu kerjasama pihak berwajib segerakan pembangunan di situ,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nurul Izah Zulkarnain menegaskan, mereka sudah menunggu terlalu lama dan hanya mahu kediaman baharu siap selewat-lewatnya tahun depan tanpa masalah.
“Penat dengan pelbagai isu. Kami mahu hidup aman dan kembali ke rumah sendiri, bukan terus menunggu,” katanya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dilancarkan pada tahun 2016 dengan janji rumah siap dalam tempoh empat tahun.
Namun, pelbagai kekangan menyebabkan tempoh itu berlarutan hampir sedekad.
Kampung Sungai Baru yang terletak berhampiran kawasan pesisir Sungai Klang merupakan antara penempatan awal Melayu di tengah bandar, menempatkan kira-kira 900 keluarga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami