KUALA BERANG: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah prinsip murni yang diamal penduduk Kampung Pengkalan Ajal di sini yang tidak berkira membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan bot peribadi masing-masing.

Che Wan Ruzilah Che Wan Musa, 63, berkata terdapat 10 penduduk di kampung yang dihuni kira-kira 200 keluarga itu mempunyai bot peribadi termasuk dirinya, dan masing-masing tidak lokek membantu memudahkan urusan mangsa banjir yang lain.

Menurutnya, dia yang sudah pulih daripada serangan angin ahmar kira-kira enam tahun lepas itu membuat keputusan untuk membeli bot berukuran lebih tiga meter setelah memikirkan nasibnya dan penduduk kampung yang hampir saban tahun ditimpa musibah berkenaan.

"Sebelum beli bot ini, saya sudah ada sebuah bot lain yang bersaiz lebih kecil. Ia tidak begitu stabil untuk harung arus deras. Jadi, setelah berbincang dengan anak saya, kami putuskan untuk beli bot ini sebagai langkah keselamatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Walaupun sudah "kalis banjir", anak jati kampung itu berkata keselamatan sentiasa diutamakan penduduk kampung berkenaan yang menurutnya antara lokasi paling teruk terjejas berbanding kampung lain di daerah ini.

"Kadangkala kami terpaksa menunggu lama untuk pasukan penyelamat tiba dan pada masa sama air naik begitu cepat. Oleh itu, kami sepakat keluarkan bot masing-masing untuk bawa penduduk yang lain sama ada ke masjid atau ke sekolah di sini.

"Penduduk kampung juga bertimbang rasa untuk berkongsi duit bagi membeli bahan bakar. Sebuah bot ini perlukan RM60 untuk tangki penuh," katanya dan menambah mereka selaku pemilik bot memberi kepercayaan kepada belia di kampung itu untuk mengendalikan jentera berkenaan.

Kampung Pengkalan Ajal merupakan satu daripada tiga kampung di daerah Hulu Terengganu yang dilanda banjir dengan merekodkan 146 mangsa daripada 61 keluarga masih menghuni di PPS setakat 2 petang tadi, menurut data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu.

Data berkenaan turut melaporkan bilangan mangsa banjir gelombang kedua itu membabitkan dua daerah termasuk Setiu juga semakin menurun kepada hanya 330 mangsa berbanding 551 orang pada 10 pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kampung berkenaan menyaksikan air mulai surut dan beberapa penduduk kampung yang menghuni di PPS di Sekolah Kebangsaan Kua di sini juga mula pulang ke rumah masing-masing susulan perkembangan positif itu.

Gelombang pertama banjir yang melanda Terengganu bermula 20 Nov lepas dan berakhir 10 hari selepas itu telah menjejaskan lebih 4,700 mangsa daripada kira-kira 1,200 keluarga di tujuh daerah di negeri ini secara berperingkat kecuali Hulu Terengganu susulan Monsun Timur Laut.

-- BERNAMA