Penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang menghidap penyakit kulit perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan ia merebak dan menjangkiti individu lain.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata penyakit kulit yang berpunca daripada jangkitan kulat atau fungal itu boleh menyebabkan kemudaratan bagi mereka yang tidak mempunyai sistem imunisasi yang baik.

"Penyakit kulit mungkin disebabkan kurangnya penjagaan kebersihan di kawasan tempat tinggal dan penyakit itu sukar untuk sembuh sekiranya mereka enggan menerima rawatan.

"Rawatan yang diberikan tidak menyakitkan pesakit. Mereka akan diberikan bekalan ubat untuk dimakan dan disapu pada kulit tetapi ia mengambil masa sehingga tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung MTD Di sini hari ini.

Kira-kira 120 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Gua Musang diserang penyakit kulit bersisik dan berkudis sejak tiga bulan lalu melibatkan 30 keluarga berusia antara dua hingga 30 tahun.

Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata pendudukkampung itu dijangkiti fungal jenis 'Tinea Imbricata' atau 'Tinea Corporis' yang mudah merebak melalui sentuhan terus dengan orang yang dijangkiti dan sentuhan secara tidak langsung seperti pakaian, tilam dan bantal pesakit.

Zaini berkata simptom yang dikesan termasuk kulit menggelupas, kulit berkuping, warna kemerahan dan sekiranya menjangkiti kepala, ia boleh mengakibatkan keguguran.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata sikap Orang Asli yang enggan menerima rawatan menjadi punca penyakit kulit itu walaupun pihaknya sudah beberapa kali melakukan kunjungan untjuk memberikan rawatan tetapi mereka menghilangkan diri ke dalam hutan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Lee berkata sebanyak 244 fasiliti klinik kesihatan bergerak disediakan di seluruh negara khusus untuk kemudahan penduduk luar bandar terutamanya masyarakat Orang Asli.

"Kita ada beberapa jenis fasiliti klinik kesihatan bergerak seperti kenderaan pacuan empat roda, bot, helikopter serta bas dan petugas perubatan akan melakukan lawatan secara berkala dengan membawa pelbagai ubat-ubatan dan peralatan untuk rawatan," katanya.

-- BERNAMA