Penduduk Pahang titip doa kesembuhan PM Anwar

Jadual kerja Perdana Menteri dilihat sangat padat sejak kebelakangan ini, dan rakyat berharap Anwar dapat berehat secukupnya sebelum kembali bertugas. - Gambar fail/FB Anwar Ibrahim
KUANTAN: Penduduk Pahang menzahirkan doa dan harapan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera sembuh dan kembali sihat selepas dilaporkan mengalami sakit belakang sehingga menyebabkan pergerakan beliau terbatas.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami sakit belakang sehingga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang atas nasihat pasukan perubatan.
- Penduduk dan pelajar UMPSA mendoakan kesembuhan Anwar, berharap beliau kembali sihat dan dapat meneruskan amanah kepimpinan negara.
- PMO memohon maaf kepada rakyat Pahang kerana pembatalan lawatan yang dijadualkan termasuk program di Temerloh dan UMPSA.
Seorang lagi pelajar UMPSA Muhammad Hariez Al Khawarizmi Hanapi, 20, turut mendoakan kesembuhan pemimpin negara dan berharap dapat bertemu Anwar pada masa akan datang.
"Ingat dapat swafoto dengan PMX (Anwar) hari ini, tapi beliau tak dapat datang sebab faktor kesihatan, apa yang lebih penting kami doakan Perdana Menteri kita kembali sihat dan cergas seperti selalu," katanya.
Petugas di reruai Pusat Komuniti MADANI, Suriati Azami, 37, pula berharap Perdana Menteri akan melakukan lawatan kerja semula di Pahang apabila kesihatannya pulih sepenuhnya.
"Memang teringin nak jumpa, tetapi yang lebih penting kesihatan beliau yang perlu kita semua doakan. Kalau ada program lagi selepas ini di Pahang, insya-Allah Perdana Menteri dapat hadir dan berjumpa rakyat di sini," katanya.
Sementara itu, seorang mekanik Mohd Zahri Sukor, 51, berkata jadual kerja Perdana Menteri dilihat sangat padat sejak kebelakangan ini, dan berharap Anwar dapat berehat secukupnya sebelum kembali bertugas.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang dijadualkan hari ini pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan, setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas.
PMO memaklumkan Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.
Anwar dijadual merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, sebelum ke Program Temu Anwar@Pahang di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang dan beramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


