Penduduk Pasir Linggi bina bangsal buluh sepanjang Monsun Timur Laut

Harun berkata mereka membina penempatan ini sejak Oktober lepas dan memilih untuk mengamalkan hidup secara nomad sehingga MTL berakhir. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Sebanyak 200 penduduk daripada 30 keluarga Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini memilih untuk tidak pulang ke rumah mereka walaupun banjir di kawasan penempatannya telah surut sepenuhnya sejak bulan lepas.
Ringkasan AI
- Lebih 200 orang Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, masih tinggal dalam bangsal yang dibina secara sementara walaupun banjir di kawasan mereka sudah surut sejak sebulan lalu, disebabkan trauma akan tragedi banjir sebelum ini.
- Penduduk memilih untuk tinggal di bangsal tersebut yang dibina menggunakan buluh, kayu hutan, tali rafia, dan berbumbungkan kanvas sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut dan mengelakkan daripada terkandas jika banjir besar berulang.
- Persediaan awal dijalankan dengan membawa kelengkapan asas seperti peralatan memasak, alas tidur, dan pakaian sehingga Januari depan, sementara JAKOA menasihatkan masyarakat Orang Asli untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Kami memutuskan untuk berpindah ke atas bukit bagi mengelakkan terkandas jika bencana berlaku seperti banjir besar pada tahun 2014. Rasa takut dan trauma masih ada, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan sungai kerana bimbang tidak sempat untuk berpindah.
"Kami akan tinggal di dalam khemah di atas bukit yang dibina berhampiran laluan masuk ke Kampung Pasir Linggi. Ini persediaan setiap tahun untuk menghadapi musim tengkujuh," katanya ketika ditemui pemberita di Pasir Linggi di sini baru-baru ini.
Penduduk Amoi Latif, 57, pula berkata persiapan awal menghadapi banjir telah dilakukan kerana jarak rumahnya dengan Sungai Linggi hanya beberapa meter sahaja dan risau paras air meningkat secara mendadak sekiranya hujan berterusan.
"Kami telah membawa kesemua kelengkapan asas untuk digunakan seperti peralatan memasak, alas tidur dan pakaian kerana akan tinggal di sini sehingga Januari depan bergantung kepada keadaan cuaca.
"Sehingga kini kami juga berulang-alik pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan rumah dan mengecas telefon bimbit," katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain segera menghubungi pihaknya sekiranya berlaku kecemasan sepanjang tempoh bencana.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

