KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Bharu perlu sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan hak milik kampung tersebut, gesa Yang Dipertua Pentadbiran Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Datuk Omar Osman.

Katanya, penduduk yang mempunyai hak milik di kawasan itu perlu memahami kepentingan menjaga tanah pusaka yang ditinggalkan nenek moyang dan tidak menjualnya sewenangnya.

“Kalau Kampung Bharu ini sudah tiada, maka hilanglah sejarah asal-usul kami. Kampung Bharu dan Dato’ Keramat, dua kampung ini kita perlu pertahankan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI sempena sambutan ulangtahun ke-123 penubuhan MAS di sini, semalam.

“Tanah di Kampung Bharu ini tanah pusaka, bukannya tanah-tanah yang biasa, tanah pusaka yang nenek moyang kita dulu yang buat.

"Hari ini dah macam Negeri Sembilan, tanah yang tak boleh sewenangnya kita jual, kita jual untuk mencari kekayaan,” tambahnya.

BACA: Selesaikan isu pusaka sebelum cerita pembangunan Kampong Bharu - MAS 

BACA: Jiankun bentuk JV dengan MRSB bagi bangunkan semula flat PKNS di Kampung Bharu 

BACA: Pengambilan tanah Sungai Baru, Kampung Baru diteruskan 

Mengulas lanjut, Omar berkata, pihaknya bercadang berjumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan isu melibatkan kebajikan penduduk di situ.

Menurutnya, antara isu dihadapi penduduk Kampung Bharu melibatkan hak milik tanah yang tidak tersusun dan juga tawar-menawar dari pihak pemaju. 

Omar juga meletakkan harapan kepada generasi muda yang dilantik menjadi ketua-ketua kampung yang baharu untuk memberi semangat dan idea bagi memperkasakan Kampung Bharu pada masa hadapan. 

BACA: Pembangunan Kampung Baru: Identiti orang Melayu dipertahankan

BACA: Pembelian tanah RM1,000 sekaki di Kampong Bharu mungkin tidak dapat dilaksana - Menteri

Media pada Ogos tahun lepas melaporkan 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru yang sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu terpaksa akur dengan desakan undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Pemilik rumah tersebut sebelum ini menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan, selain meminta campur tangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.