BALIK PULAU: Penduduk di daerah Barat Daya terutama mereka yang tinggal di Teluk Kumbar yang terjejas berikutan gangguan bekalan air akibat kerosakan paip di dasar Sungai Perai di Butterworth buat kali ketiga, Selasa lalu terpaksa mendapatkan bekalan air alternatif yang terdapat di kawasan itu.

Selain mendapatkan bekalan air yang dihantar oleh pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi tangki air, mereka juga memilih untuk mendapatkan air dari telaga penduduk kampung, perigi air tiub (air boring) dan air bukit di bukit di Kampung Sepakat.

Pengerusi Kariah Masjid Maqbul, Datuk Prof Muhammad Idiris Saleh berkata perigi tiub itu di tepi masjid sedalam 49 meter meter yang kemudiannya dihubungkan ke sebuah tangki dengan kapasiti 1,500 liter air sebelum disalurkan kepada paip di situ menjadi tumpuan penduduk di kawasan berkenaan sejak semalam.

Katanya pihak masjid memang membuka kawasan paip yang menyalurkan air boring itu 24 jam sehari bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih kerana telaga air boring itu dilengkapi dengan sistem penapisan supaya ia mrnjadi air mineral.

"Sejak semalam memang ramai yang datang ambil air, boleh kata paip yang menyalurkan air boring itu sentiada ada orang tahan air, dan kami pihak masjid memang mengalu-alukan mereka untuk mendapatkan bekalan air ketika ini kerana kita faham ramai yang tak sempat simpan air sebab kejadian paip bocor itu berlaku secara tiba-tiba," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, penduduk di kawasan Teluk Kumbar malah dari Bayan Lepas, turut mendapatlan bekalan air dari air bukit di Kampung Sepakat yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan kediaman di situ.

Seorang penduduk Mohd Ishak Idris, 49, berkata beliau dan isteri Hartini Abdullah, 45, datang ke kawasan bukit itu hari ini bagi mendapatkan air bukit untuk kegunaan di rumah mereka kerana ia lebih mudah dan cepat.

Katanya semalam beliau ambil air boring di Masjid Maqbul namun hari ini memilih ke kawasan bukit itu pula dan bersyukur air di situ bersih, jernih serta tidak berbau.

Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai pada Selasa merupakan kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lepas dan 12 Jan.

Berikutan beberapa kejadian paip bocor, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, yang dijangka siap pada 2 Feb, dan berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu penggantian paip kekal di dasar Sungai Perai siap.

-- BERNAMA