Skip to main content

Dunia

Lelaki tembak mati ibu bapa di Sepanyol, bayi kritikal

61724308296_TBditembakjpg.jpg
Pasukan keselamatan yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan) menemukan mayat ibu bapa suspek di dalam sebuah kereta dengan kesan lubang tembakan. -Gambar hiasan

ALMERÍA: Seorang lelaki berusia 25 tahun didakwa menembak mati kedua-dua ibu bapanya sebelum mencederakan anak kandung berusia tujuh bulan dalam satu insiden tembakan di El Ejido, Sepanyol malam tadi.

Menurut pihak berkuasa, suspek yang kini ditempatkan di sebuah pusat kesihatan bagi menjalani penilaian di unit kesihatan mental, dilapor menyerah diri di sebuah balai polis selepas sempat melarikan diri seketika sejurus melancarkan serangan berdarah itu.

Pasukan keselamatan yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan) menemukan mayat ibu bapa suspek di dalam sebuah kereta dengan kesan lubang tembakan.

Selain anak lelaki suspek yang parah akibat ditembak, serangan itu turut mencederakan seorang lagi bayi berusia 18 bulan serta ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan, yang kini sedang menerima rawatan di Poniente University Hospital.

Seorang lelaki warga emas berketurunan Maghribi berusia 60 tahun juga menjadi mangsa dan terpaksa dipindahkan ke Torrecardenas University Hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di kepala.

Setakat ini, identiti suspek dan kesemua mangsa masih belum didedahkan pihak berkuasa, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan Civil Guard bagi mengenal pasti motif serangan.

Kes seumpama ini disifatkan amat jarang berlaku memandangkan Sepanyol menguatkuasakan undang-undang pemilikan senjata api awam yang sangat ketat dan mengekalkan antara kadar jenayah pembunuhan terendah di Eropah.

Must Watch Video