Penemuan kapal purba Melaka berpotensi ubah landskap kajian sejarah

Ab Rauf (tiga, kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin (kiri) menunjukkan porselin dan duit syiling lama yang ditemukan di Pulau Melaka ketika melakukan lawatan di kawasan berkenaan. - Bernama
MELAKA: Penemuan serpihan objek dipercayai milik kapal purba berhampiran perairan Pulau Melaka di sini berpotensi mengubah landskap kajian sejarah mengenai era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Selain bahagian yang dipercayai kerangka kapal itu, turut ditemui beberapa artifak penting termasuk duit syiling lama yang dikaitkan dengan pemerintahan Sultan Mahmud Shah, iaitu sultan terakhir Melaka sebelum kejatuhan kota itu kepada Portugis pada tahun 1511.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerajaan negeri memberikan komitmen penuh terhadap projek eksplorasi berkenaan dan kini dalam proses mewartakan kawasan itu sebagai zon larangan sementara.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan segala aktiviti cari gali dan penyelidikan dijalankan secara sistematik serta dilindungi daripada sebarang pencerobohan pihak luar.
“Penemuan ini amat signifikan, bukan sahaja untuk negeri Melaka malah buat negara kerana ia mungkin menjadi bukti fizikal kepada catatan sejarah yang selama ini hanya bersumberkan tulisan dan naskhah lama,” katanya.

Ab Rauf menjelaskan, hasil penemuan tersebut berpotensi membantu pakar sejarah menilai semula beberapa fakta penting berkaitan perdagangan dan hubungan diplomatik Melaka dengan dunia luar pada abad ke-15.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Tapak Ekskavasi Penyelamatan Kapal Purba Melaka pada Khamis.
Ab Rauf menegaskan, kerajaan negeri akan memastikan setiap penemuan direkod dan disahkan oleh pakar bagi menjamin ketulenannya sebagai bahan bukti sejarah rasmi.
Beliau turut mengakui, walaupun kawasan berkenaan terletak di atas tanah milik individu, pihak kerajaan akan mengambil pendekatan rundingan bagi membolehkan kerja penerokaan diteruskan tanpa gangguan.
Katanya, keutamaan diberikan kepada kepentingan warisan dan nilai sejarah negara yang jauh lebih besar berbanding kepentingan komersial jangka pendek.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menceroboh atau menghampiri kawasan ekskavasi berkenaan bagi mengelakkan risiko kerosakan terhadap artifak yang sedang dikaji.
Ab Rauf turut berharap projek ini menjadi permulaan kepada usaha lebih menyeluruh untuk menjejaki semula sejarah maritim Melaka yang selama ini banyak bergantung kepada sumber bertulis semata-mata.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


