Penerbangan ujian yang dirancang 'Unmanned Aircraft System (UAS) E-Hang 216 (EH-216) di hangar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), Subang esok (21 Nov), tidak dapat kebenaran, kata PIhak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

CAAM dalam satu kenyataan hari ini menyebut lokasi penerbangan ujian di UNIKL MIAT itu kurang daripada 200 meter daripada trafik penerbangan komersil dan helikopter dan jelas berada dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang, yang merupakan di bawah kawalan Pengawal Trafik Udara.

EH216 hanya diberikan permit khas penerbangan (SFP) daripada 'State of Design' (Pihak Berkuasa Penerbangan China) yang terhad kepada menjalankan kajian dan pembangunan penerbangan di 'Grand World Science Park', Guangzhou.

BACA: Kereta terbang atau dron? Mana satu yang betul?

BACA: Pandu uji 'kereta terbang' Khamis ini hanya untuk Ahli Parlimen - Redzuan

CAAM juga kini menjalankan siasatan terhadap demonstrasi penerbangan melibatkan EH216 pada 15 Nov yang dilakukan di kawasan yang sama, dalam kawasan Lapangan Terbang Subang.

"Walaupun CAAM menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia, ujian dan demonstrasi penerbangan perlu dilakukan mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016, bagi memastikan keselamatan," katanya.

CAAM berkata, mereka bersedia untuk mempertimbangkan permohonan penerbangan ujian EH216 di kawasan bersesuaian dan dengan sokongan daripada 'State of Design' pesawat tersebut.

-- BERNAMA