Penerbit buku bebas, Aloy Paradoks menyifatkan laporan sebuah persembahan slaid di laman Biro Tatanegara tentang 'Gerakan Indie di Malaysia' sebagai kelakar.

Ketika dihubungi Astro AWANI, pemilik SeLUT Press itu berkata, beliau tidak mengambil serius tentang perkara itu dan merasakan ia tidak mendatangkan apa-apa kesan kepadanya.

"Saya rasa kelakar... dan saya tak ambil serius pun perkara itu," ujar Aloy yang namanya tersenarai antara 'pemain utama geng indie.'

Seorang lagi 'pemain utama', Faisal Mustafa pula bagaimanapun agak memandang serius tentang perkara itu.

Beliau yang merupakan pemilik penerbitan buku Merpati Jingga berpandangan tuduhan itu boleh dikategorikan sebagai fitnah kerana mereka telah dilabel sebagai satu gerakan.

"BTN sepatutnya fokus pada benda-benda lain yang boleh menanam lebih banyak sifat nasionalisme serta jati diri, dan bukan menabur benda-benda sebegini," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, beliau juga memaklumkan telah berhubung dengan peguamnya bagi melihat perkara ini.

"Apa yang lebih mustahak ialah untuk saya jaga perniagaan saya. Saya tidak mahu pihak media memainkan isu ini sehingga terjadi penggeledahan di pejabat saya.

"Jadi saya berhubung dengan peguam lebih awal supaya lebih selamat di sisi undang-undang," katanya.

Menurut Faisal, persembahan slaid itu telah wujud dalam laman BTN sejak Mac lalu, namun hanya disedarinya baru-baru ini sebelum ia menjadi viral.

Seperti yang tertera dalam slaid tersebut, beberapa penerbit buku serta individu telah dinamakan BTN sebagai terlibat dalam gerakan kumpulan bebas atau indie yang bersifat 'anti-establishment' dan mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan.

Pemain utama gerakan indie

Selain Aloy dan Faisal, beberapa pemilik penerbit buku lain turut dinamakan BTN iaitu Sinaganaga (Sindiket Sol-Jah) yang dinamakan sebagai 'ketua', Aisa Linglung (Lejen Press), Amir Muhammad (Buku Fixi) dan Mutalib Uthman (DuBook Press).

Penerbitan lain yang juga termasuk dalam senarai BTN ialah Studio Anai-Anai, Poket Press dan Terfaktab.

Selain itu, Buku Jalanan, Geng Jurnal, Rabak, Propaganda, Indie 57, Baskerz, Frinjan dan Samjal telah dinamakan sebagai kumpulan-kumpulan indie yang menjalankan aktiviti seperti pembacaan puisi, pembacaan buku jalanan, jualan buku, jualan lukisan, pameran, diskusi mini dan penerbitan.

Antara kesan atau impak 'gerakan' ini seperi yang didakwa BTN termasuk:

- mempunyai pengikut senyap yang ramai di mana rata-rata mereka terdiri daripada pengundi muda untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14);

- bergerak tanpa pemantauan khas pihak berwajib yang didakwa akan memberi kesan negatif kepada kerajaan;

- buku-buku terbitan mereka dijual secara berleluasa tanpa sekatan dan berunsur lucah dan bebas;

- melahirkan ikon-ikon baru generasi muda yang bawa idea bebas dan ekstrim seperti Benz Ali, Adam Adli, Melati Rahim dan Zikri Ahmad.

Justeru, menurut BTN dalam slaid yang disediakan bahagian penyelidikan dan penerbitannya itu, kerajaan digesa menangani gerakan ini dengan mengharamkan buku mereka yang berunsur lucah dan bebas.

Pemimpin kerajaan juga disaran untuk turun dan mendekati golongan ini bagi memahami aspirasi mereka serta mewujudkan hubungan bagi mengenal pasti permasalahan mereka.

Selain itu, kerajaan diminta melahirkan ikon-ikon kanan dalam kalangan anak muda, dan mengaktifkan kumpulan diskusi mini.