redONE berharap pelaburan mereka dalam dokumentari Sepuluh terbitan Astro Arena dapat membuka mata ramai pihak tentang kepentingan pelaburan dalam bidang sukan.

Sepuluh merupakan dokumentari mengenai perjalanan legenda bola sepak negara, Safee Sali, dalam merintis pahit manis bergelar seorang pemain profesional sehingga membantu Malaysia menamatkan penantian bergelar juara Piala AFF pada 2010.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif redONE Network Sdn Bhd, Farid Yunus, pemilihan Safee sebagai tokoh utama dalam dokumentari pelaburan mereka itu adalah demi mewujudkan seorang suri teladan yang mampu dicontohi atlet-atlet muda di negara ini.



"Tujuan utama kami melabur dalam dokumentari ini adalah kerana menyedari pentingnya seorang tokoh sukan buat atlet-atlet muda di negara ini.

Pemilihan Safee sebagai tokoh utama dalam dokumentari pelaburan mereka itu adalah demi mewujudkan seorang suri teladan yang mampu dicontohi atlet-atlet muda di negara ini. - Foto Stadium Astro

"Dengan kewujudan dokumentari ini, diharapkan atlet-tlet muda kita dapat menjadikan perjalanan Safee sebagai contoh untuk mereka melalui kehidupan sebagai ahli sukan," katanya.

Ini bukanlah kali pertama redONE mengeluarkan pelaburan dalam bidang sukan memandangkan juga pernah menaja Kejohanan Badminton Purple League, Kelab Badminton Serdang BC, Kejohanan Skuasy Tertutup Selangor, Selangor FC, Terengganu FC dan merupakan pemilik terkini PDRM FC.

Tambah Farid, syarikat korporat kini kurang berminat untuk melabur dalam bidang sukan kerana ia memerlukan komitmen dan pelaburan yang besar berbanding sektor lain.

"Banyak syarikat swasta kini sudah mengeluarkan sukan daripada senarai CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka.

Sepuluh merupakan dokumentari mengenai perjalanan legenda bola sepak negara, Safee Sali, dalam merintis pahit manis bergelar seorang pemain profesional. - Foto Stadium Astro

"Tolong anak yatim dikira CSR tetapi pelaburan dalam sukan tidak dikira CSR.

"Pasukan dan organisasi sukan sentiasa memerlukan penaja kerana mereka memerlukan sumber kewangan.

"Sebagai pemilik pasukan (PDRM FC), saya tahu kesukaran yang dilalui pasukan. Sebagai contoh untuk membawa pasukan bermain ke Kuching (Sarawak).

"Pihak kerajaan juga perlu memberikan suntikan buat syarikat-syarikat korporat yang terlibat dalam pelaburan sukan agar akan ada lebih banyak syarikat yang mahu terlibat dengannya," katanya lagi.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro