Serangan di Bondi: Kerajaan Australia setuju perketat undang-undang senjata api

Pihak berkuasa mengesahkan 16 kematian susulan insiden tembakan yang menyasarkan satu acara sempena hari pertama perayaan Yahudi Hanukkah. - Foto fail/REUTERS
SYDNEY: Pemimpin Australia dalam satu mesyuarat khas Kabinet Nasional pada Isnin bersetuju untuk mengambil tindakan tegas bagi memperketat undang-undang senjata api susulan insiden tembakan yang meragut banyak nyawa pada Ahad di Bondi Beach, Sydney, lapor Xinhua.
Perdana Menteri Anthony Albanese dalam satu kenyataan berkata beliau bersama pemimpin negeri dan wilayah Australia bersetuju untuk mengambil "tindakan yang kuat, tegas dan berfokus" terhadap pembaharuan undang-undang senjata api pada mesyuarat tergempar yang diadakan susulan kejadian itu.
Beliau berkata pemimpin negeri dan wilayah mengarahkan menteri polis dan peguam negeri masing-masing untuk merangka pilihan bagi memperketat undang-undang senjata api, termasuk mengehadkan jumlah senjata api yang boleh dimiliki oleh seorang individu serta mengehadkan lesen senjata api kepada warganegara Australia sahaja.
Selain itu, Albanese berkata Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang diwujudkan selepas 35 orang terbunuh dalam tragedi Port Arthur di negeri Pulau Tasmania pada 1996 akan dikaji semula bagi memastikan ia kekal "seteguh mungkin" dalam persekitaran keselamatan yang berubah.
Pihak berkuasa mengesahkan 16 kematian susulan insiden tembakan yang menyasarkan satu acara sempena hari pertama perayaan Yahudi Hanukkah pada Ahad malam, menjadikannya insiden tembakan meragut paling banyak nyawa di Australia sejak tragedi Port Arthur.
Polis pada awal Isnin mengesahkan yang mangsa yang maut berusia antara 10 hingga 87 tahun dan termasuk seorang daripada dua penembak, seorang lelaki berusia 50 tahun yang mempunyai lesen senjata api dan memiliki enam pucuk senjata secara sah.
Penembak kedua, seorang lelaki berusia 24 tahun yang dikenal pasti sebagai anak kepada lelaki berusia 50 tahun itu, masih dirawat di hospital pada Isnin di bawah kawalan polis.
--BERNAMA-Xinhua
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


