Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengesahkan penerokaan tanah berhampiran Bukit Kledang merupakan aktiviti penerokaan haram bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Anuar Zainal Abidin berkata, tinjauan di kawasan terjejas pada Khamis mengesahkan pencerobohan haram berkeluasan hampir 10 hektar itu turut melibatkan sebahagian dari tanah milik MB Inc.

Menurutnya, siasatan mendapati peneroka-peneroka telah menanam anak-anak pokok kelapa sawit di lereng-lereng bukit yang telah diteroka secara haram.

Katanya, selain MB Inc, turut hadir semasa tinjauan ialah Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, para pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah Manjoi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

“Siasatan awal mendapati selain tanah MB Inc, kawasan yang terjejas adalah tanah milik kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Negeri juga telah mengesahkan tanah MB Inc dan tanah milik kerajaan negeri yang terjejas tidak terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

Keadaan kerja guna tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut. Foto Sinar Harian

Malah, tambahnya, kawasan itu juga tidak pernah digazetkan sebagai kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

“Susulan siasatan hari ini, PTG telah mengarahkan semua kerja-kerja tanah di tapak berkenaan dihentikan serta-merta.

"Siasatan telah dimulakan bagi mengambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” ujarnya pada Khamis.

Katanya, pihak PTG juga telah mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk membaik pulih kawasan yang terdedah tersebut.

“Kali terakhir pihak MB Inc meninjau kawasan Bukit Kledang ialah pada 19 Januari lalu dan ketika itu mendapati tiada sebarang aktiviti penerokaan haram berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Anuar memaklumkan, MB Inc merancang membangunkan projek hartanah bercampur di kawasan berkenaan bertujuan menawarkan penempatan untuk rakyat selain mengelakkan tanah milik agensi kerajaan daripada diusahakan oleh peneroka haram.

“MB Inc amat kesal dengan aktiviti penerokaan haram ini yang seolah-olah mahu mencabar pihak berkuasa.

"Ini kerana aktiviti pencerobohan ini dikesan dalam tempoh 10 hari selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri bagi mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun negeri,” katanya.