KUALA LUMPUR: Pengalaman petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL) melawan wabak COVID-19 tiga tahun lepas diceritakan dalam sebuah buku bertajuk 'Coffee Table Book COVID-19 HKL' yang dilancarkan hari ini.

Buku dengan tema 'Taming the Tempest' yang diterbitkan HKL itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika lawatan rasmi beliau ke hospital itu hari ini.

Beliau berharap buku itu dapat memberi inspirasi kepada semua dan mengangkat peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Buat masa ini, buku berkenaan tidak dijual kepada umum dan hanya untuk bahan bacaan di perpustakaan HKL.

Esok, 18 Mac merupakan ulang tahun ketiga negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menurut Dr Zaliha sepanjang tempoh negara berjuang menentang musuh halimunan wabak COVID-19, HKL telah berfungsi sebagai hospital hibrid terbesar di Malaysia.

"Di sebalik pahit manis yang dilalui, warga kerja HKL khasnya dan Kementerian Kesihatan amnya tetap berusaha memberi perkhidmatan terbaik berkiblatkan objektif utama menyelamatkan nyawa dalam memberi perkhidmatan perubatan berkualiti tanpa mengira agama, bangsa dan darjat.

"Pengorbanan dan penat lelah yang telah diberikan tiada tolok bandingnya dan sesungguhnya hanya Allah SWT yang mampu membalasnya," katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk HKL bagi tujuan inventori dan perolehan aset serta tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan ditambah, bagi usaha pendigitalan HKL berikutan 16,000 rekod pesakit kini dikendalikan secara manual setiap hari.

Katanya, HKL yang dibina pada 1870 dan berusia 153 tahun bukan sahaja terkenal sebagai pusat rujukan perubatan utama negara, malah merupakan hospital terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara serta antara yang terbesar di rantau Asia.

Beliau berkata Kuala Lumpur kini berkepadatan penduduk seramai 1.9 juta orang serta kian meningkat saban tahun dan atas dasar itu, hala tuju pembangunan HKL wajar mengambil kira keperluan perkhidmatan seiring populasi untuk 10 tahun akan datang.

Pada sesi itu, Dr Zaliha turut melawat Jabatan Kecemasan HKL, Urgent Care Clinic dan Klang Valley Ambulance Service yang juga merupakan inisiatif di bawah Jabatan Kecemasan.

-- BERNAMA