NATIONAL
Pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan keperluan, bukan perniagaan - KESUMA

Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan pengambilan tenaga kerja asing harus berdasarkan keperluan sektor sebenar dan bukan sebagai perniagaan untuk meraih keuntungan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengambilan tenaga kerja asing ke Malaysia perlu berlandaskan keperluan permintaan sektor sebenar bukannya sebagai perniagaan atau dijadikan ruang mengaut keuntungan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Ringkasan AI
- Pengurusan Tenaga Kerja Asing yang Beretika: Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan pengambilan tenaga kerja asing harus berdasarkan keperluan sektor sebenar dan bukan sebagai perniagaan untuk meraih keuntungan.
- Kerjasama Malaysia-Bangladesh: Kedua-dua negara bersetuju memperkukuhkan mekanisme penyelarasan teknikal tenaga kerja melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG), yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Mei di Dhaka.
- Strategi Jangka Panjang & Reformasi: Malaysia berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan sistem levi berperingkat, serta menerima pengiktirafan daripada Bangladesh atas usaha membanteras penyalahgunaan tenaga kerja.
Menurut KESUMA dalam pertemuan itu, Malaysia dan Bangladesh turut bersetuju untuk memperkukuhkan mekanisme penyelarasan teknikal pengurusan tenaga kerja melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG).
"Langkah ini penting bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani tepat pada masanya berdasarkan semangat kefahaman dan kebertanggungjawaban bersama. Mesyuarat JWG seterusnya dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Mei ini di Dhaka, Bangladesh," menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan untuk memperkukuhkan komitmen kedua-dua negara bagi menambah baik tadbir urus berkaitan pengurusan tenaga kerja, KESUMA memaklumkan Malaysia turut berkongsi strategi jangka panjang mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.
Bagi tujuan itu, menurut kementerian itu kerajaan dalam proses melaksanakan sistem levi berperingkat yang bukan sahaja akan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan malah membentuk pasaran buruh yang lebih mampan dan berdaya saing.
"Menteri menyatakan kedua-dua negara kini dipimpin oleh kerajaan reformis yang mempunyai kesungguhan politik untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam pengurusan tenaga kerja rentas negara.
"Ini merupakan peluang penting untuk menetapkan semula sistem sedia ada agar lebih berakauntabiliti, telus dan adil kepada para pekerja," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurut KESUMA Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Bangladesh atas pengiktirafan terhadap usaha Malaysia membanteras penyalahgunaan dan salah laku dalam proses pengurusan tenaga kerja.
"Dalam pertemuan tersebut, pihak Bangladesh turut mengesahkan bahawa Malaysia tidak terlibat dalam sebarang salah laku yang telah dibangkitkan sebelum ini dan menyatakan sokongan mereka terhadap pendekatan Malaysia yang tegas dan berprinsip dalam isu pemerdagangan manusia.
"Kunjungan ini mencerminkan tekad bersama Malaysia dan Bangladesh untuk memperkukuhkan tadbir urus tenaga kerja rentas negara berdasarkan prinsip integriti, hak asasi dan kesejahteraan sejagat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami