KUALA LUMPUR: Penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak atau 'Bossku' kecewa kerana bekas Perdana Menteri itu  tidak diberikan pengampunan penuh.

Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata keputusan Lembaga Pengampunan hari ini sudah dapat dijangka sejak awal lagi.

"Kami penyokong 'Bossku' kekal berpendirian bahawa beliau tidak bersalah dan ia satu ketidakadilan besar berlaku ke atas Najib," dakwanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Syed Muhammad Imran mendakwa keadilan terhadap Najib masih tidak ditegakkan dan dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Dalam hal ini, kami penyokong 'Bossku' kekal untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana keadilan terhadap Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan masih tidak ditegakkan," ujarnya lagi.

Walaupun berasa kecewa, beliau berkata penyokong-penyokong Najib menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Terdahulu, keluarga Najib turut melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberi pengampunan penuh dan membebaskan beks Ahli Parlimen Pekan itu serta-merta.

Anak Najib, Nooryana Najwa menerusi hantaran di laman Instagram berkata, pihak keluarga kekal dengan pendirian bahawa Najib tidak bersalah.

Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.