NATIONAL
Pengampunan Najib: ‘Saya pemimpin negara demokrasi, bukan diktator’ – Anwar

Anwar berkata, beliau hairan mengapa wujud sikap obsesi terhadap seorang pemimpin yang sudah pun dipenjarakan, sedangkan masih ada pemimpin lain yang ‘merompak berbilion’, masih bebas dan tidak dipedulikan. - Al Jazeera East 101
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau sama sekali tidak terlibat dalam proses pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk pengurangan hukuman denda dan penjara bekas Presiden UMNO itu.
Ringkasan AI
- Penegasan Anwar Ibrahim: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam proses pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana keputusan tersebut berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.
- Proses Undang-Undang & Kritikan: Anwar menyatakan bahawa setiap banduan berhak mengemukakan permohonan semakan dan beliau hanya membentangkan permohonan Najib tanpa membuat keputusan. Beliau juga menolak dakwaan bahawa pengurangan hukuman Najib adalah bermotifkan politik.
- Fokus kepada Tadbir Urus Negara: Anwar menggesa agar perhatian tidak hanya tertumpu kepada Najib, sebaliknya memberi fokus kepada isu rasuah lain yang masih berjalan. Beliau menekankan kepentingan menegakkan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.
Selain itu Anwar berkata, beliau bukanlah seorang diktator, tetapi lebih cenderung untuk dikenali sebagai pemimpin yang memegang prinsip demokrasi, menyebabkan beliau sendiri mengemukakan permohonan rayuan Najib kepada lembaga tersebut.
Anwar Ibrahim: Kerana saya Perdana Menteri, saya tidak boleh menunjukkan sikap berat sebelah atau prejudis terhadap sesiapa pun.
Mary Ann Jolley (Al-Jazeera East 101): Namun, pengkritik anda akan berkata bahawa ini adalah keputusan yang bermotifkan politik, memandangkan anda bergantung kepada parti Najib (UMNO) untuk terus berkuasa.
Anwar Ibrahim: Beginilah keadaannya. Jika anda bertindak, anda dikritik. Jika tidak bertindak pun, anda tetap dikritik. Jadi akhirnya, anda lakukan perkara yang betul. Apakah perkara yang betul itu? Hak yang diberikan kepada setiap banduan di Wilayah Persekutuan untuk mengemukakan permohonan semakan. Saya telah lakukan itu. Saya engemukakan permohonan untuk semakan, bukan membuat keputusan”.
Biarpun pernah dipenjarakan ketika di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata itu tidak bermaksud beliau akan menyimpan dendam.
Menyifatkan langkah pemenjaraan penentang sebagai satu penyakit, Anwar berkata, beliau lebih cenderung melihat proses undang-undang diteruskan, sambil menegaskan perbicaraan berkaitan 1MDB masih diteruskan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau hairan mengapa wujud sikap obsesi terhadap seorang pemimpin yang sudah pun dipenjarakan, sedangkan masih ada pemimpin lain yang ‘merompak berbilion’, masih bebas dan tidak dipedulikan.
“Maksud saya di sini, dia (Najib) sudah dipenjarakan, dan kes (siasatan dan perbicaraan) masih sedang berjalan. Mengapa obses dengan Najib sedangkan ada kes-kes (berprofil tinggi) lain juga? Adakah kita sudah berhenti mendakwa? Tidak. Adakah kes itu masih berjalan? Ya!
"Saya rasa ini adalah satu helah jahat yang terang-terangan oleh segelintir penyangak yang terus-menerus menonjolkan Najib, Najib, Najib kononnya kes itu diabaikan.
“Biarkan kami uruskan negara ini dan kembalikan tadbir urus yang baik serta kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman. Biarkan kami uruskan negara ini dan jangan terperangkap dengan satu obsesi sahaja," katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami