Suspek yang ditangkap kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat pada Sabtu lalu, hari ini mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta, sebentar tadi.

Tertuduh, Shahrul Anuar Abdul Aziz berusia 22 tahun yang juga merupakan seorang penganggur turut dibenar diikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin oleh Majistret.

Majistret, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk perbicaraan.

Ketika sebutan dibuat, Sharul yg memakai kemeja-T hitam pada awalnya mengaku bersalah dan keadaan itu mengejutkan peguamnya, Shahruddin Ali.

Selepas diperjelaskan Majistret Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, Sharul kemudian membuat pengakuan tidak bersalah.

Turut hadir, ibu bapa Sharul yang merupakan Orang Kelainan Upaya serta abang dan kakaknya.

Sharul dibebaskan dengan jaminan RM3,000 sementara menunggu perbicaraan kes.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Selain suspek, 18 lagi yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat masih ditahan reman.


BACA: Kes Low Yat: Jumlah tangkapan 19 orang setakat ini

BACA: Kes Low Yat: KPN arah polis tangkap blogger

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah membuka empat kertas siasatan berhubung insiden rusuhan berkenaan.

Kes disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan seksyen 148 kanun sama kerana merusuh menggunakan senjata.