Polis menahan seorang penggangur yang disyaki memiliki dadah serta merampas sejumlah 4,980 pil esktasi dalam satu serbuan di kawasan MJC Courtyard Sanctuary Apartment Batu Kawa semalam.

Pasukan narkotik turut menyerbu rumah suspek dan menemui sejumlah plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dalam serbuan yang sama polis merampas kotak pengering rambut jenama Panasonic yang mengandungi sembilan plastik lutsinar masing-masing berisi 500 biji pil esktasi.

"Polis turut menemui tiga paket plastik lutsinar masing-masing berisi 100 biji pil esktasi dan dua paket plastik lutsinar masing-masing berisi 99 biji pil esktasi," katanya kepada media di sini pada Jumaat.

Sahar menambah, saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Antara barangan lain dirampas, sebuah kereta Toyota Vios, tiga bentuk cincin emas bernilai RM4,194 sepasang anting-anting bernilai RM1,362 dan wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM4,037.

Suspek berusia 26 tahun berasal dari Jalan Berjaya Sibu kini ditahan lanjut dengan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Anggaran nilai rampasan antara RM80,250 bagi syabu dan RM249,000 bagi pil esktasi.