KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur perhimpunan yang menyerahkan memorandum memohon pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, pihaknya mendapati penganjur tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

"Kira-kira 2 petang, pada Rabu, pihak polis mendapati terdapat perhimpunan penyerahan memorandum oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) di pekarangan luar Pintu 3 Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur.

"Dianggarkan seramai 300 orang berpakaian serba hitam telah berkumpul sambil melaungkan slogan 'Hidup Najib dan Bossku'," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Pada Rabu, Astro AWANI melaporkan kira-kira 300 penyokong bekas Perdana Menteri itu diketuai oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia berkumpul di hadapan Istana Negara untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Dalam memorandum itu, pertubuhan berkenaan memohon dua perkara termasuk pengampunan serta-merta diberikan kepada Najib oleh Al-Sultan Abdullah.

Justeru itu, Amihizam menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada sama ada perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini, khususnya di Bandaraya Kuala Lumpur.

"Pihak Polis juga menyeru orang ramai supaya tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran yang sah," ujarnya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib menjadi Perdana Menteri pertama negara dihukum penjara.